ZIYAD tampil kali ketiga di temasya Paralimpik.
ZIYAD tampil kali ketiga di temasya Paralimpik.
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur "Walaupun kami bukan atlet normal, kami mempunyai tekad serta misi yang tersendiri dan akan buat sebaik mungkin untuk mencapai sesuatu buat negara."

Itu kata-kata semangat yang dipegang jaguh lontar peluru para negara, Muhammad Ziyad Zolkefli untuk menghadiahkan satu lagi emas buat negara selepas melakukannya di Rio.

Kini dia hanya menghitung hari untuk terbang ke Tokyo dan berharap seluruh rakyat Malaysia mendoakan kejayaannya bersama kontinjen para negara yang akan berjuang demi negara. Ziyad adalah pemegang rekod dunia dalam kategori F20 dengan jarak 17.29 meter ketika Kejohanan Olahraga Para Dunia di London 2017.

"Saya ada impian untuk sampai satu tahap yang mana orang tidak boleh mencapai rekod peribadi dan rekod terbaik dunia yang saya pegang. Saya mahu lakukan itu di Sukan Paralimpik Tokyo 2020 nanti.

"Apabila sampai di Tokyo, saya ingin fokus dan buat sebaik mungkin untuk membanggakan negeri dan juga negara," katanya.

Ziyad akan membuat penampilan ketiga di temasya paralimpik dan mempunyai semangat dan tekad jitu dalam mengejar apa yang diinginkan.

Untuk rekod, ia bukanlah kali pertama Ziyad bergelar pemegang rekod dunia yang sebelum ini sudah dipecahkannya sebanyak tiga kali namun ia dilakukan secara tidak rasmi.

Pada penyertaan di Rio 2016, Ziyad melakar sejarah apabila memecahkan rekod baharu dunia dan Paralimpik dengan jarak 16.84m, sekali gus memadamkan rekod sebelum ini yang dipegang Todd Hodgetts dari Australia.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 Ogos 2021 @ 10:49 PM