ALCARAZ membalas hantaran Dimitrov.
ALCARAZ membalas hantaran Dimitrov.
AFP

Miami: Pemain nombor dua dunia Carlos Alcaraz gagal melepasi suku akhir Terbuka Miami selepas tewas 2-6, 4-6 di tangan pemain Bulgaria Grigor Dimitrov hari ini.

Dimitrov yang mempamerkan permainan mengagumkan ketika mengatasi pilihan utama dari Sepanyol itu akan berdepan pemain Jerman Alexander Zverev untuk memburu tempat ke final.

Zverev mengatasi cabaran sengit pemain meningkat naik dari Hungary Fabian Marozsan untuk mara ke separuh akhir dengan kemenangan 6-3, 7-5.

Jannik Sinner dan Daniil Medvedev akan berentap dalam satu lagi separuh akhir yang juga aksi ulangan final Terbuka Australia yang dimenangi Sinnger pada Januari lalu.

"Untuk menang ke atas dia, anda perlu pada tahap terbaik. Itu yang amat diperlukan," kata Dimitrov selepas tamat perlawanan.

"Saya kena sangat fokus ketika perlawanan dan jelas dengan apa mahu dilakukan. Saya juga dapat membaca perlawanan. Bagi saya ia perlawanan sangat hebat dan saya gembira menang straight set ke atas Alcaraz," tambahnya lagi.

Sementara itu, pemain nombor lima dunia Zverev tahu dia perlu berwaspada ancaman Marozsan yang menduduki ranking ke-57 tetapi bakal melonjak kelompok 40 teratas selepas menewaskan Holger Rune dan Alex de Minaur.

"Jika dia terus beraksi seperti itu, rankingnya akan terus melonjak naik dengan pantas dan dia akan menjadi pemain yang perlu diberi perhatian," kata Zverev yang memuji prestasi Marozsan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 Mac 2024 @ 10:14 AM