REAKSI Nadal selepas menewaskan Pedro Cachin. FOTO Reuters
REAKSI Nadal selepas menewaskan Pedro Cachin. FOTO Reuters
AFP

Madrid: Rafael Nadal berkata, dia melakukan yang terbaik bagi memastikan mimpinya menjadi nyata selepas terus kekal di Terbuka Madrid apabila menewaskan pemain Argentina Pedro Cachin 6-1, 6-7 (5/7), 6-3 awal pagi tadi.

Beraksi pada kejohanan terakhir di tempat sendiri sebelum bersara, juara lima kali itu memberikan jersinya kepada pemain nombor 91 dunia Cachin yang memintanya cenderamata selepas tamat perlawanan.

"Ada ketika bagus, ada ketika tidak. Saya temui jalan untuk melepasinya. Saya fikir pada set ketiga dengan beberapa kesilapan, saya masih mampu menang," kata Nadal selepas tamat aksi pusingan ketiga.

"Kini saya menikmatinya. Tunggu sahaja bagaimana saya bangun esok hari. Beraksi di tempat sendiri amat bermakna kepada saya, hanya melakukan yang terbaik untuk saya terus bermimpi."

Nadal akan menentang pilihan ke-30 Jiri Lehecka di saingan 16 terakhir yang menewaskannya ketika sesi latihan seminggu lalu.

Dalam perlawanan lain pilihan utama Jannik Sinner mengatasi cabaran pemain nombor 72 dunia Pavel Kotov 6-2, 7-5 manakala pemain Kazakhstan Alexander Bublik menewaskan lawan dari Amerika Syarikat Ben Shelton 3-6, 7-6 (7/2), 6-4 untuk mara ke pusingan keempat.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 April 2024 @ 10:40 AM