TSC belum membuat keputusan untuk ke Turki. FOTO FB TSC
TSC belum membuat keputusan untuk ke Turki. FOTO FB TSC
Aida Adilah Mat

Kuala Lumpur: Jika Terengganu Cycling Team (TSG) memutuskan untuk menyertai perlumbaan pertama dalam kalendar berbasikal di Turki Februari depan, Sapura Cyling Team (TSC) pula mengambil pendekatan tunggu dan lihat.

Biarpun mengakui memang ada perancangan untuk ke Turki sebelum ini, namun pengurus pasukan, Sayuti Zahit, tidak mahu mengambil sebarang risiko ketika kes Covid-19 semakin meningkat.

Kata Sayuti, beliau mahukan penyertaan yang berbaloi untuk barisan pelumba kerana perbelanjaan yang akan dikeluarkan itu bukannya sedikit.

"Kami belum pasti ke Turki lagi sebab jelajah utama Tour of Antalya sudah dibatalkan dan Jelajah Turki pula belum pasti sama ada akan berlangsung atau tidak.

"Jika pergi pun, kami hanya dapat menyertai 'one day race' saja.

"Itu sebab kami putuskan untuk tunggu dan lihat dulu sambil menunggu vaksin tiba dan kemudiannya baru akan putuskan sama ada akan berkampung ke Eropah atau Asia," katanya.

Kata Sayuti, dia kini dimaklumkan bahawa Turki kini sudah menerima vaksin yang mana pelumba utamanya, Ahmet Orken yang menyertai pasukan itu tahun lalu juga berasal dari negara itu.

Sapura sebelum ini pernah menyertai Tour of Antalya, siri jelajah berstatus 2.1, serta Grand Prix Velo Alanya dan Grand Prix Manavgat di Turki awal tahun lalu sebelum Covid-19 mula menular.

Tahun lalu TSC dinobatkan sebagai juara Jelajah Asia dan berada di tangga ke-27 keseluruhan pasukan terbaik dunia untuk musim 2020.

TSC menduduki tangga pertama Asia selepas mengumpul 1,113 mata, manakala TSG pula di tangga kedua dengan mencatat 864 mata.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 January 2021 @ 7:35 PM