ANIQ melakukan angkatan 290kg berbanding rekod kebangsaan miliknya 296kg di Piala Dunia IWF. -FOTO NSTP
ANIQ melakukan angkatan 290kg berbanding rekod kebangsaan miliknya 296kg di Piala Dunia IWF. -FOTO NSTP
Oleh Saiful Affendy Sapran


Kuala Lumpur: Meskipun atlet angkat berat negara, Mohamad Aniq Kasdan sudah melayakkan diri ke Sukan Olimpik 2024, prestasinya di Piala Dunia IWF di Phuket, Thailand sedikit mencetuskan rasa gusar.

Ini kerana, Aniq hanya dapat melakukan angkatan keseluruhan 290 kilogram (kg) berbanding rekod kebangsaan yang juga angkatan terbaiknya 296kg dilakukan pada Kejohanan Angkat Berat Dunia Grand Prix II Qatar, Disember lalu.

Presiden Persekutuan Angkat Berat Malaysia (PABM), Datuk Ayub Rahmat berkata, beliau sudah meminta barisan kejurulatihan mencari faktor kemerosotan itu.

Jelas Ayub, Aniq perlu mengangkat bebanan keseluruhan antara 305 hingga 310kg sekiranya mahu berada di pentas podium yang menjanjikan kilauan pingat di Olimpik.

"Persembahan di Phuket ini kurang memberangsangkan. Walaupun persembahan dia sebelum ini OK dengan 290 tetapi dia pernah melakukan 296kg dan di Phuket ini, kita sasar 300kg tetapi tidak tercapai.

"Saya sudah meminta jurulatih untuk melihat kenapa kemerosotan ini berlaku, apa puncanya? Jadi kena tengok faktor itu kerana fokus kita selepas ini adalah Olimpik. Semua itu (faktor kemerosotan)harus diketepikan kerana sasaran kita sekurang-kurangnya pingat di Olimpik Paris tanpa mengira warna," katanya.

Jelas Ayub, Aniq kemungkinan akan ke Paris seminggu lebih awal untuk menyesuaikan diri dengan cuaca.

"Namun selepas di Phuket ini, kita perlu pertajamkan teknik angkatan bagi snatch, berkaitan clean&jerk dan apa yang penting sekali ketahanan fizikal dan sebagainya.

"Saya minta jurulatih untuk melihat apa kelemahan, faktor menyebabkan kemerosotan kerana kita tengok atlet dari Amerika Syarikat dan Thailand yang sebelum ini berada di bawah Aniq, sekarang ini sudah melepasi Aniq dengan jumlah angkatan yang cukup mengagumkan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 April 2024 @ 2:21 PM