ANIQ cemerlang di Kejohanan Angkat Berat Dunia Grand Prix II di Qatar. FOTO NSTP
ANIQ cemerlang di Kejohanan Angkat Berat Dunia Grand Prix II di Qatar. FOTO NSTP
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Bukan sesuatu yang mustahil buat atlet muda negara Mohamad Aniq Kasdan melakar sejarah menjadi atlet angkat berat pertama negara menghadiahkan pingat buat negara di temasya Sukan Olimpik Paris 2024.

Keyakinan itu disuarakan oleh Presiden Persekutuan Angkat Berat Malaysia (PABM), Datuk Ayub Rahmat berikutan prestasi konsisten yang dipamerkan oleh Aniq.

Bagaimanapun Aniq perlu terlebih dahulu memperbaiki kekurangannya dalam acara snatch.

"Untuk meraih pingat dia perlu memperbaiki kelemahan ini.

"Perkara ini sudah saya bincang dengan jurulatih Aniq yang mana kita lihat ada kelemahan dalam acara snatch dalam video-video kejohanan yang disertai Aniq," katanya.

Ayub berkata, Aniq kini berada di landasan yang tepat untuk melayakkan diri ke secara merit ke temasya berkenaan berdasarkan apa yang dipamerkan olehnya ketika kejohanan kelayakan.

"Bukan mustahil dan jika dia berjaya terus memperbaiki prestasinya bukan satu yang mustahil untuk dia buat sejarah.

"Lagipun dia masih muda. Kemuncak prestasi untuk seseorang atlet angkat berat iaitu di antara 22 hingga 26 tahun.

"Jadi saya yakin dia mampu untuk melakukannya jika dia terus berjuang memberi komitmennya kepada latihan," katanya.

Aniq ketika ini di landasan tepat untuk layak ke Olimpik Paris apabila berada di kedudukan ketujuh ranking kelayakan.

Awal bulan ini, dia cemerlang selepas membawa pulang dua pingat dengan merangkul perak acara clean & jerk serta gangsa bagi keseluruhan dalam kategori 61 kilogram (kg) di Kejohanan Angkat Berat Dunia Grand Prix II di Qatar.

Angkatan 296kg yang dilakukannya turut menyaksikan dia memecahkan rekod kebangsaan miliknya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 Disember 2023 @ 3:37 PM