JANNIK Sinner (kiri). FOTO Agensi
JANNIK Sinner (kiri). FOTO Agensi
AFP

Miami: Pemain nombor tiga dunia, Jannik Sinner berhasrat untuk merangkul gelaran ketiganya tahun ini apabila dia menentang Grigor Dimitrov yang digelar 'pembunuh gergasi' dalam aksi final Terbuka Miami esok.

Sinner, yang memenangi gelaran Grand Slam pertamanya di Terbuka Australia pada Januari dan kemudian merangkul saingan Tertutup Rotterdam pada Februari, mencatatkan 19 kemenangan berturut-turut sebelum tewas kepada Carlos Alcaraz di Indian Wells awal bulan ini.

Di separuh akhir, Sinner menumbangkan juara bertahan, Daniil Medvedev dengan 6-1, 6-2 yang berlangsung di Stadium Hard Rock itu.

"Kali pertama saya beraksi di sini beberapa tahun sebelum ini membuatkan saya sebenarnya saya tidak boleh tidur malam sebelum pertandingan," kata Sinner.

"Kali kedua pada tahun lepas, saya agak santai kerana sudah mempunyai pengalaman beraksi di kejohanan ini.

"Namun sekarang saya pemain berbeza, orang lain. Saya mahu menghabiskan saingan ini dengan meraig gelaran dan pulang dengan kepuasan," katanya.

Katanya lagi, dia perlu menggunakan sebaiknya penampilan di final itu yang mungkin tidak akan diulangi lagi.

"Saya tidak dapat tidur kerana anda tahu, saya tidak pasti sama ada saya boleh kembali dalam kedudukan ini semula (mara ke final).

"Sebelum kejohanan ini bermula, siapa tahu saya boleh ke final? Sekarang saya lebih yakin yang saya boleh berjaya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 31 Mac 2024 @ 2:30 PM