SINNER membalas pukulan Griekpoor pada perlawanan di Terbuka Miami, awal pagi tadi. FOTO AFP
SINNER membalas pukulan Griekpoor pada perlawanan di Terbuka Miami, awal pagi tadi. FOTO AFP
Reuters

Miami: Pilihan kedua, Jannik Sinner bangkit sebelum menang 5-7, 7-5, 6-1 ke atas Tallon Griekspoor, sekali gus mara ke pusingan keempat Terbuka Miami, awal pagi tadi.

Final diidamkan penonton pada hujung minggu depan antara Sinner dan pilihan utama, Carlos Alcaraz hampir musnah apabila pemain Belanda, Griekspoor menang set pertama dan mendahului 6-5 pada set kedua.

Namun, Sinner membuktikan kekentalannya yang membolehkan dia muncul juara Grand Slam di Terbuka Australia, Januari lalu, kembali bangkit sebelum menjadikan kedudukan 1-1.

Di set ketiga, pemain Itali itu menguasai perlawanan menentang Griekspoor yang menduduki ranking ke-26 dunia sebelum menang mudah 6-1.

"Saya fikir di set pertama, perlawanan memang sengit, tetapi kemenangan berpihak kepada lawan," kata Sinner.

"Dari segi mental, saya cuba kekal bertahan dan saya berdepan situasi sangat mencabar hari ini.

"Ia adalah hari yang sukar buat saya, tetapi saya gembira dengan keputusan perlawanan."

Bagaimanapun, pilihan keenam dari Denmark, Holger Rune tersingkir apabila tewas 1-6, 1-6 kepada pemain Hungary, Fabian Marozsan dalam masa 59 minit.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 Mac 2024 @ 9:39 AM