HURKACZ (kanan) dan Sinner bersama trofi masing-masing. FOTO AFP
HURKACZ (kanan) dan Sinner bersama trofi masing-masing. FOTO AFP
AFP

Miami: Pemain Poland, Hubert Hurkacz menewaskan pemain remaja Itali, Jannik Sinner dengan straight set untuk menjuarai Terbuka Miami dan merangkul gelaran pertama Masters ATP dalam kariernya.

Hurkacz pilihan ke-26 yang mengatasi empat pemain ranking lebih tinggi sebelum ke final menang 7-6 (7/4), 6-4 dalam masa 1 jam 43 minit di Stadium Hard Rock, Miami.

Ia kemenangan berhak diraih pemain berusia 24 tahun dari Wroclaw itu yang menjulang trofi keduanya musim ini ketika cabaran Sinner berakhir dengan beberapa siri kesilapan.

"Saya sangat gembira dapat beraksi dengan baik hari ini, " kata Hurkacz.

"Jannik lawan yang hebat. Saya bangga dapat mengatasinya."

Hurkacz turut mendapat ucapan tahniah daripada Presiden Poland, Andrzej Duda yang berharap kemenangan itu menjadi langkah kepadanya meraih lebih banyak kejayaan.

"Ia memberikan saya motivasi tambahan dan lebih percaya kepada diri sendiri bahawa saya telah menang gelaran besar. Ia menyuntik motivasi kepada saya untuk menjadi pemain lebih baik dan menang lebih banyak lagi."

Sinner pula kecewa gagal mengambil peluang untuk menjulang trofi dengan ketiadaan 'Big Three' -- Novak Djokovic, Rafael Nadal dan Roger Federer di Miami.

"Hari ini sangat sukar kerana tewas pada final bagi saya tidak mudah,'' kata Sinner.

"Saya datang ke sini dengan mentaliti untuk menang. Kita tahu Rafa, Roger, Novak tidak beraksi,'' katanya. "Saya fikir ia peluang terbaik kepada ramai pemain.''

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 5 April 2021 @ 11:48 AM