SINNER menewaskan pemain pilihan untuk mara ke final Terbuka Miami.
SINNER menewaskan pemain pilihan untuk mara ke final Terbuka Miami.
AFP

Miami: Pemain remaja Itali, Jannik Sinner melakarkan kejutan menewaskan pilihan ketujuh, Roberto Bautista Agut di Terbuka Miami untuk menempah tiket bertemu Hubert Hurkacz di pentas akhir terbesar dalam karier remajanya.

Sinner sebelum ini mara hingga suku akhir Terbuka Perancis tahun lalu, menundukkan Bautista 5-7, 6-4, 6-4 untuk menjadi pemain remaja keempat mara ke perlawanan akhir dalam sejarah 36 tahun ATP Miami Masters.

Hurkacz dari Poland pilihan ke-26, menangi perlawanan straight set yang kedua ke atas pemain dalam kelompok 10 terbaik apabila menundukkan pilihan keempat dari Russia, Andrey Rublev 6-3, 6-4.

Dia sebelum itu menewaskan pilihan kedua, Stefanos Tsitsipas dan Hurkacz menjadi pemain pertama yang berjaya menewaskan Rublev di kejohanan itu.

Ia adalah kali pertama dia memperoleh kemenangan menewaskan dua pemain kelompok 10 terbaik di kejohanan yang sama.

Sinner, 19, yang baru tiga kali beraksi di Masters 1000, kini menyertai senarai bersama-sama juara 1990 Andre Agassi, naib juara 2005 Rafael Nadal dan juara 2007 Novak Djokovic sebagai pemain remaja yang berjaya mara ke pentas akhir.

"Hari ini kami mempamerkan aksi tenis yang hebat," kata Sinner. "Ia tidak mudah dengan keadaan sedikit berangin. Tapi saya gembira dengan prestasi saya hari ini."

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 3 April 2021 @ 12:59 PM