DJOKOVIC hanya mampu raih gangsa Olimpik setakat ini.
DJOKOVIC hanya mampu raih gangsa Olimpik setakat ini.
Reuters

Indian Wells, California: Novak Djokovic bakal berusia 41 tahun ketika temasya Sukan Los Angeles tetapi pemain nombor satu dunia itu berkata dia tidak menolak kemungkinan bertanding untuk pingat emas Olimpik pada 2028.

Jaguh Serbia berusia 36 tahun itu memiliki rekod 24 kemenangan Grand Slam tetapi hanya mampu meraih gangsa dalam empat aksi Olimpik dan kini dia mempunyai satu lagi peluang untuk menukar kilauan warna di Paris pada musim panas.

"Semuanya di atas kad, cuma saya tak tahu berapa kad tinggal," kata Djokovic sambil tersenyum ketika ditanya mengenai LA 2028 pada sidang media awal pagi tadi.

"Masih jauh untuk memikirkan Sukan Olimpik Los Angeles tetapi impian beraksi di sana membuatkan saya teruja. Tapi saya masih belum benar-benar komited untuk itu."

Djokovic berkata dia lebih suka menetapkan perancangan tahun demi tahun bergantung kepada ketahanan tubuh dan tahap motivasi.

"Persaingan semakin sukar tetapi saya masih sukakan sukan ini dan saya masih bertanding pada tahap tertinggi," katanya.

"Saya masih nombor satu, jadi saya rasa akan teruskan perjuangan dan berusaha mencipta sejarah."

Djokovic memburu gelaran keenam Indian Wells selepas gagal memasuki Amerika Syarikat sejak lima tahun lalu susulan larangan berkaitan pandemik Covid-19.

Dia menjuarai kejohanan itu tiga kali berturrut-turut antara 2014-2016 tetapi disingkirkan pemain Jerman Philipp Kohlschreiber dalam penampilan terakhir pada 2019.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 Mac 2024 @ 11:05 AM