BERTRAND dan Enrique ketika beraksi dalam acara 10 meter platform seirama di Montreal, Kanada. FOTO AFP
BERTRAND dan Enrique ketika beraksi dalam acara 10 meter platform seirama di Montreal, Kanada. FOTO AFP
BERNAMA

Kuala Lumpur: Gandingan penerjun negara, Bertrand Rhodict Lises-Enrique Maccartney Harold gagal menyerlah dalam acara 10 meter (m) platform seirama lelaki apabila menduduki tempat kesembilan dalam Kejohanan Terjun Piala Dunia Siri Pertama 2024 di Montreal, Kanada, hari ini.

Bertrand-Enrique mengumpul 353.67 mata selepas enam pusingan terjun manakala Yang Hao-Lian Junjie dari China dinobatkan sebagai juara dengan meraih 457.23 mata dalam pertandingan yang berlangsung di Parc Olympique.

Gandingan dari Mexico Kevin Berlin Reyes-Randal Willards Valdez meraih perak dengan 428.97 mata dan pasangan Britain Noah Williams-Tom Daley mengumpul 417.93 mata meraih gangsa.

Semalam, Bertrand yang menyertai Sukan Olimpik 2024 memperoleh 389.85 mata untuk menduduki tempat ke-10 daripada 11 penerjun dalam acara akhir 10m platform lelaki.

Piala Dunia Terjun 2024 berlangsung dalam tiga siri.

Selepas Montreal, persaingan akan diadakan di Berlin dari 21 sehingga 24 Mac diikuti dengan perlawanan akhir super di Xi'an, China dari 19-21 April depan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 Mac 2024 @ 11:11 AM