ZHANG YUKUN
ZHANG YUKUN
Mohd Khairie Khalid

“Terima kasih kepada jurulatih Zhang Yukun kerana meningkatkan keyakinan kami.”

Itu antara coretan di laman instagram milik ratu terjun negara, Pandelela Rinong yang meraih pingat emas bersama pasangan, Cheong Jun Hoong dalam acara 10 meter (m) platform seirama dalam pusingan ketiga Siri Terjun Dunia di Montreal, Kanada, awal pagi tadi.

Pencapaian itu menyaksikan Jun Hoong dan Pandelela muncul penerjun pertama dari Malaysia berjaya memenangi gelaran siri dunia.

Yukun mengambil alih tugas mengendalikan skuad terjun kebangsaan daripada bekas ketua jurulatih, Yang Zhuliang yang tidak disambung kontraknya, tahun lalu.

“Hello dari Montreal, hanya ingin memaklumkan yang kami memenangi pingat emas buat pertama kali di Siri Terjun Dunia FINA,” tulis penerjun dari Sarawak itu menerusi laman instagram Pandelela Rinong.

Untuk memenangi emas di Siri Dunia, yang menjadi pertarungan antara lapan gandingan terbaik dunia adalah lebih sukar jika dibandingan dengan Sukan Komanwel di mana Jun Hoong - Pandelela turut menyambar emas baru-baru ini.

Di Montreal, pasangan Malaysia mencatatkan 322.74 mata dalam lima terjunan, mengetepikan penerjun Korea Utara, Kim Mi Rae - Kim Kuk Hyang dengan kutipan 321.90 manakala gangsa milik pasangan China, Si Yajie - Lin Shan (320.82).

Penerjun Kanada, Maeghan Benfeito - Caeli McKay yang juga pemenang pingat perak Sukan Komanwel menamatkan aksi di kedudukan keempat.

Kejayaan Jun Hoong dan Pandelela hadir tepat pada masanya buat Malaysia yang menaruh harapan untuk memenangi emas pertama Sukan Olimpik di Tokyo 2020.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 28 April 2018 @ 12:26 PM