AHMAD Faedzal (kanan) sedar ia bukan tugas mudah untuk mereka membetulkan sesuatu yang dianggap biasa selama ini. FOTO Bernama
AHMAD Faedzal (kanan) sedar ia bukan tugas mudah untuk mereka membetulkan sesuatu yang dianggap biasa selama ini. FOTO Bernama
Amirul Fazli Zulkafli


Kuala Lumpur: Institut Sukan Negara (ISN) percaya dengan adanya Kod Sukan Selamat itu tiada lagi isu 'di bawah karpet' dan itu akan memberi peluang lebih ramai orang berkepentingan seperti atlet itu sendiri untuk tampil mengadukan perkara yang melanggar etika sama ada sebelum semasa atau selepas latihan mahupun pertandingan.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Institut Sukan Negara (ISN), Ahmad Faedzal Md Ramli berkata, beliau yakin apabila pihaknya mula memberi penjelasan serta pendidikan mengenai peranan Kod Sukan Selamat itu, pihak berwajib seperti jurulatih, pengurusan pasukan serta persatuan sukan akan lebih faham berkenaan apa yang mereka harus perjuangkan.

Jelasnya, Kod Sukan Selamat itu sendiri memainkan peranan amat penting untuk melindungi pihak yang teraniaya terutama atlet itu sendiri.

"Apabila kita memulakan inisiatif berbentuk seperti ini (Kod Sukan Selamat), kita mesti bersedia dari segi aduan yang diterima kerana akan muncul orang membuat aduan, kita kena jangkakan benda itu. Aduan itu akan berlaku, semestinya akan timbul kes-kes yang akan diberikan perhatian oleh sama ada pemegang taruh ataupun media.

"Jadi sebab itu yang kita nak tidak lagi ada mindset di kalangan ekosistem ini untuk kita 'sweep under the carpet' ataupun tidak melaporkan (jika ada kes salah laku). Kita nak di ekosistem dan atlet yang berlatih itu tahu mereka penting dalam ekosistem dan atlet ini adalah satu kumpulan yang kita perlu jaga dan tidak di tindas," katanya selepas seminar Kod Sukan Selamat di ISN hari ini.

Selain itu, Ahmad Faedzal juga mengingatkan para atlet tidak takut untuk tampil menyuarakan kerana mereka perlu tahu di hak atlet itu sendiri.

Tetapi beliau sedar ia bukan tugas mudah untuk mereka membetulkan sesuatu yang dianggap biasa selama ini.

"Saya percaya dengan naratif speak out loud itu. Atlet perlu tahu hak dia sebagai atlet dan juga hak dia sebagai manusia. Untuk tidak membenarkan perkara-perkara yang mungkin menindas dia dan ada orang mengambil kelebihan pada dia.

"Itu yang kita kena pupuk. Saya cakap tadi masa penutup (Seminar Kod Sukan Selamat), kita ini kadang-kadang berada di persimpangan sebagai sosialiti. Dulu mungkin kita rasa benda tu biasa, normal bagi kita, normalisasi. Jadi itu naratif dia, benda yang sudah normalize macam mana kita nak ubah. Tapi ambil masa untuk ubah tu. Kita kena beri pendidikan, kita kena sedarkan mereka,"katanya.

Untuk makluman, pihak Kementerian Belia dan Sukan (KBS) turut bekerjasama dengan Kementerian Pendidikan (KPM), Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) agar isu yang melanggar etika Kod Sukan Selamat itu dapat diambil tindakan lebih serius.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 Februari 2024 @ 4:20 PM