HANNAH akan memantau perjalanan siasatan ini terutamanya di peringkat MSN dan akan pastikan tindakan dilakukan dengan cepat. FOTO ASYRAF HAMZAH
HANNAH akan memantau perjalanan siasatan ini terutamanya di peringkat MSN dan akan pastikan tindakan dilakukan dengan cepat. FOTO ASYRAF HAMZAH
Saiful Affendy Sapran


Kuala Lumpur: Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh mengesahkan jurulatih berbasikal kebangsaan yang didakwa melakukan gangguan seksual terhadap seorang pelumba wanita sudah menghantar surat peletakan jawatan kepada Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM).

Bagaimanapun tegasnya, siasatan berhubung isu itu tetap diteruskan kerana ia membabitkan kes jenayah yang disiasat polis bagi mencari keadilan untuk atlet serta jurulatih berkenaan.

"Jurulatih itu sebenarnya sudah meletakkan jawatan. Ini yang baru saya terima sebentar tadi. Sejak kes sampai ke pengetahuan Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM), mereka sudah mengambil tindakan menggantung tugasnya dan latihan diberhentikan.

"Biarpun jurulatih itu telah meletakkan jawatan, siasatan tetap diteruskan kerana laporan polis sudah dibuat. Jadi siasatan ini kena adil untuk atlet dan tertuduh, sekiranya tuduhan tidak benar ada keadilan kepada yang dituduh.

"Selepas membaca laporan polis yang dibuat oleh atlet semalam (kelmarin), saya menghubungi Majlis Sukan Negara (MSN) serta merta dan kita mengaktifkan pegawai pelindung MSN selepas pelancaran Kod Sukan Selamat.

"Pihak Polis, MSN dan PKBM akan melakukan siasatan terperinci dan saya akan memantau perjalanan siasatan ini terutamanya di peringkat MSN dan akan pastikan tindakan dilakukan dengan cepat," katanya ketika ditemui pada Pelancaran Kempen Crowdfunding FootGolf Malaysia, di Bukit Jelutong Golf Centre.

Semalam Arena Metro melaporkan Presiden PKBM, Datuk Abu Samah Abd Wahab mengesahkan jawatankuasa disiplin sudah mengambil tindakan susulan apabila menggantung jurulatih berkenaan.

Katanya, kejadian terbabit agak mengejutkan kerana sebelum ini tidak pernah lagi kem berbasikal negara terbabit dengan masalah gangguan seksual membabitkan pelumba mereka.

Sementara itu, Hannah berkata, bagi memastikan persiapan atlet ke Sukan Sea Kemboja tidak terjejas susulan kes berkenaan, MSN akan pastikan seorang pegawai wanita dilantik bagi membantu pasukan untuk memantau segala aktiviti.

"Saya memberi amaran, tidak kira jurulatih, atlet atau sesiapa sahaja. Kalau kita dimaklumkan, tindakan tegas akan diambil. Saya tidak kira pesalah itu atlet nombor satu negara atau tidak. Kes sebegini wujudkan persekitaran tidak selamat.

"Saya bangga dengan atlet ini kerana dia berani buat laporan polis dan tidak simpan. Ini tindakan yang betul, jadi jangan rasa bersalah untuk membuat laporan polis. Saya puji tindakan atlet kerana berani buat aduan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 1 April 2023 @ 5:32 PM