Hannah berjumpa dengan atlit Paralimpik yang menjalani latihan di Kompleks Sukan Kampung Pandan. FOTO Fathil Asri
Hannah berjumpa dengan atlit Paralimpik yang menjalani latihan di Kompleks Sukan Kampung Pandan. FOTO Fathil Asri
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menguatkuasakan peraturan baharu iaitu mewajibkan semua atlet Para negara perlu ditemani pengiring untuk penyertaan di peringkat antarabangsa.

Peraturan baharu akan berkuat kuasa serta merta bakal diselaraskan oleh Majlis Sukan Negara (MSN) bersama-sama Majlis Paralimpik Malaysia (MPM).

Menterinya, Hannah Yeoh berkata, peraturan berkenaan bertujuan memastikan keselamatan dan segala keperluan atlet Para negara dijaga sepanjang masa demi memastikan fokus serta tumpuan mereka tidak terjejas.

"Saya mengarahkan MSN menyelaraskan keperluan berkenaan supaya atlet para kita akan dapat memberikan perhatian sepenuhnya kepada mempamerkan prestasi terbaik mereka di setiap kejohanan atau pertandingan peringkat antarabangsa yang mereka sertai," katanya.

Selain itu, beliau berkata, jumlah pegawai pengiring untuk atlet para negara itu tertakluk kepada kuota penyertaan seperti yang ditetapkan penganjur dengan MSN dan MPM akan memastikan pegawai berpengetahuan dalam sesuatu sukan spesifik diberi tanggungjawab berkenaan.

"Keputusan itu selaras dengan Klausa 12.4 berkaitan Tadbir Urus, Peranan dan Tanggungjawab Petugas Sokongan Atlet dalam Kod Klasifikasi Atlet Jawatankuasa Paralimpik Antarabangsa (IPC).

"Klausa berkenaan menjelaskan bahawa Petugas Sokongan Atlet boleh dilantik daripada kalangan jurulatih, petugas perubatan, ibu bapa ataupun mana-mana individu yang membantu atlet dalam perjalanan kerjaya mereka sebagai ahli sukan dan mestilah berpengalaman serta mematuhi semua garis panduan dan peraturan yang digariskan dalam Kod Klasifikasi IPC berkenaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 Februari 2023 @ 2:22 PM