Saingan Ragbi CSR antara MBJB menentang MPK Royal
Saingan Ragbi CSR antara MBJB menentang MPK Royal

Shah Alam: Pasukan Majlis Perbandaran Klang (MPK) Royal Town Warriors dan Bank Muamalat Bullets menepati ramalan pada aksi minggu kedua Kejohanan Ragbi Super Korporat (CSR) 2024 apabila berjaya mencatat kemenangan bergaya ke atas lawan masing-masing.

Pada aksi berlangsung di Padang Ragbi Universiti Teknologi MARA (UiTM) di sini, MPK Royal Town Warriors membelasah Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) Red Panthera, 54-8 dalam saingan Kumpulan B, sementara juara bertahan, Bank Muamalat Bullets mengatasi Tenaga Nasional Berhad (TNB) Rugby, 52-17 sekali gus mendahului selesa saingan Kumpulan A.

Pengurus pasukan MPK Royal Town Warriors, Shahizam Tukiran berkata, saingan kejohanan itu baru bermula justeru mereka tidak boleh mengambil mudah setiap cabaran daripada pasukan bertanding sekali pun berjaya 'lulus' ujian dua perlawanan awal.

"Walaupun berjaya mengekalkan rekod kemenangan bersih setakat ini. Kami tetap menghormati setiap pasukan yang bertanding kerana percaya lawan mempunyai kekuatan tersendiri dan telah membuat persiapan yang rapi.

"Saya berharap pemain juga dapat mengikut segala strategi yang dirancang oleh jurulatih seterusnya beraksi baik untuk aksi akan datang," katanya.

Sementara itu, dalam satu lagi aksi Kumpulan B pasukan Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) Knights mengalahkan Pride Greens, 19-5 manakala TUDM Blackhawks memberi tentangan sengit sebelum tumpas 17-30 kepada PPTD Patriots dalam saingan Kumpulan A.

Kesemua perlawanan berlangsung di Padang Ragbi Universiti Teknologi MARA (UiTM).

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 31 January 2024 @ 5:56 PM