ABDUL Azim (empat kanan) bersama Muhammad Zawawi mendominasi perlumbaan peringkat kedua Jelajah Negeri Sembilan 2023 hari ini. FOTO MOHD AMIN JALIL
ABDUL Azim (empat kanan) bersama Muhammad Zawawi mendominasi perlumbaan peringkat kedua Jelajah Negeri Sembilan 2023 hari ini. FOTO MOHD AMIN JALIL
Mohd Amin Jalil


Tampin: Pelumba NS Black Panther dari Negeri Sembilan, Abdul Azim Aliyas mempamerkan kayuhan bertenaga apabila merampas posisi keseluruhan perlumbaan peringkat kedua Kejohanan Jelajah Negeri Sembilan 2023, hari ini.

Abdul Azim memenangi Jersi Kuning itu selepas mencatat masa 2 jam 48 minit dan 39 saat dan diberikan saingan hebat oleh Muhammad Shaiful Adlan Mohd Shukri dari Buceros Cycling Team (BUC) yang menduduki tempat kedua dengan catatan masa 2:48.39s.

Tempat ketiga keseluruhan milik Akmal Hakim Zakaria dari Malaysia Pro Cycling (MPC) selepas merekodkan 2:48.51s.

Abdul Azim turut merangkul Jersi Hijau selaku Raja Pecut selepas dia memperoleh 25 mata diikuti Muhammad Nur Aiman Rosli dari BUC, yang meraih 22 mata, manakala Zuladri Amin Zulkurnain dari Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di tempat ketiga dengan 22 mata.

Pelumba ATM, Muhammad Zawawi Azman mengekalkan Jersi Merah selaku Raja Bukit yang dimenanginya semalam, selepas memperoleh 12 mata manakala pelumba dari Terengganu Polygon Cycling Akademy (TPA), Muhammad Qaiyyim Mohd Saipul Anuwai (6 mata) di tempat kedua dan Muhammad Shaiful Adlan (BUC) di tempat ketiga (5 mata).

Sementara itu, Jersi Putih bagi kategori Bawah 23 Tahun turut menjadi milik Abdul Azim selepas mengumpul catatan 5:05.54s meninggalkan pemenang peringkat pertama semalam, Zhe Yie Kee dari Terengganu (5:06.06s) di tempat kedua diikuti tempat ketiga milik, Mior Muhammad Hazwan Hamzah dari BUC dengan catatan masa terkumpul 5:06.20s.

Abdul Azim, 21, berkata menjadi hasratnya untuk bangkit pada peringkat kedua selepas peringkat pertama semalam sekadar berada di tempat kesembilan.

Pelumba kebangsaan itu berkata, walaupun diberikan saingan sengit pelumba lain, namun usahanya menjarakkan diri dengan pesaing lain dan mengekalkan tempoh kayuhan sekitar 44 kilometer sejam, ternyata membuahkan hasil.

"Sememangnya saya tidak jangka dapat mendominasi hampir keseluruhan perlumbaan hari ini, namun hasrat untuk bangkit daripada kegagalan semalam, ternyata membuahkan hasil meskipun diberikan saingan sengit dari Muhammad Shaiful Adlan.

"Pelumbaan hari ini nampak lancar dan ini antara prestasi terbaik yang dapat saya pamerkan berbanding ketika bersaing dalam satu kejohanan di Terengganu pada September lalu," kata pelumba yang meraih tempat ketujuh di Sukan Asia Hangzhou 2023, baru-baru ini.

Abdul Azim yang bernaung di bawah Persatuan Berbasikal Negeri Sembilan (PBNS) akui bimbingan dan latihan peringkat tertinggi yang diterimanya di Belgium selama tiga bulan antara Mac hingga Mei lalu, banyak membantu meningkatkan prestasinya itu.

Peringkat kedua dari Bandar Baru Nilai-Tampin membabitkan jarak perlumbaan sejauh 120 km.

Hadiah kepada pemenang disampaikan masing-masing Tunku Besar Tampin, Tunku Syed Razman Tunku Syed Idrus Al-Qadri; Ahli Parlimen Tampin, Mohd Isam Mohd Isa dan Presiden PBNS merangkap Naib Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM), Khairy Jamaluddin.

Keputusan penuh:

Kategori keseluruhan:

1. Abdul Azim Aliyas (NS Black Panther) - 2:48.39s

2. Muhammad Shaiful Adlan Mohd Shukri (BUC) - 2:48.39s

3. Akmal Hakim Zakaria (MPC) - 2:48.51s

Jersi Merah: Muhammad Zawawi Azman (ATM)

Jersi Hijau: Abdul Azim Aliyas (NS Black Panther)

Jersi Kuning: Abdul Azim Aliyas (NS Black Panther)

Jersi Putih: Abdul Azim Aliyas (NS Black Panther)

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 November 2023 @ 3:09 PM