PANDELELA (kiri) dan Dhabitah meraikan kejayaan meraih pingat gangsa, semalam. FOTO REUTERS
PANDELELA (kiri) dan Dhabitah meraikan kejayaan meraih pingat gangsa, semalam. FOTO REUTERS
Fabian Peter


Hangzhou: Pada usia 30 tahun, ramai beranggapan Datuk Pandelela Rinong sudah di penghujung kariernya dalam sukan terjun.

Bekas pemenang pingat perak Sukan Olimpik dan Kejohanan Dunia dari Sarawak itu, bagaimanapun mempamerkan watak berbeza.

Selepas tidak beraksi di Sukan Asia 2018 dekat Jakarta-Palembang akibat kecederaan, Pandelela kembali ke Sukan Asia Hangzhou dan memberi inspirasi kepada pasangannya, Nur Dhabitah Sabri untuk meraih pingat gangsa dalam acara final 10m platform seirama wanita, semalam.

Pandelela dan Dhabitah mempunyai masa yang amat terhad untuk menghadapi temasya kali ini kerana Pandelela juga mengalami kecederaan pergelangan tangan, Julai lalu.

Ketika dihubungi, Pandelela berkata: "Memenangi gangsa benar-benar membuatkan saya rasa bersyukur kerana rasa sukar untuk beraksi.

"Pasangan saya kembali daripada mengalami kecederaan dan masih berjaya mengatasinya, saya sangat bangga dengannya.

"Bukan mudah bagi kami berdua untuk beraksi apabila kami tidak cergas 100 peratus. Saya benar-benar mahu membuktikan bahawa peluang sentiasa ada dengan dibantu dengan sedikit tuah," kata Pandelela, yang akan beraksi dalam acara 10m platform individu, Selasa ini.

Pada penampilan terakhirnya di Sukan Asia 2014 dekat Incheon, Pandelela turut memenangi gangsa bersama pasangannya ketika itu, Datuk Leong Mun Yee.

Pencapaian terbaik kedua-duanya ialah memenangi pingat perak dalam Sukan Asia 2010 di Guangzhou.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 1 Oktober 2023 @ 4:40 PM