DHABITAH dan Pandelela menang gangsa 10m platform seirama. FOTO MOM
DHABITAH dan Pandelela menang gangsa 10m platform seirama. FOTO MOM
Saiful Affendy Sapran


Kuala Lumpur: "Kalau Datuk Pandelela (Rinong) perlukan lagi khidmat saya, sudah tentu saya akan buat yang terbaik untuk kita bersama-sama berusaha."

Demikian pandangan penerjun wanita negara, Nur Dhabitah Sabri yang mahu terus beraksi bersama Pandelela terutamanya dalam memburu tiket ke Sukan Olimpik Paris 2024.

Jelas Dhabitah, dia akan memanfaatkan setiap momen bersama Pandelela selagi ratu terjun negara itu masih terus mewakili negara selepas kedua-duanya cemerlang menghadiahkan pingat gangsa buat kontinjen Malaysia dalam acara 10 meter (m) platform seirama di Sukan Asia Hangzhou.

"Macam saya cakap sebelum ini, saya pun sayang sebenarnya nak tinggalkan acara 10m. Lagipun, kita tidak tahu berapa lama lagi Datuk Pandelela akan terus beraksi.

"Jadi, sementara saya ada peluang dan selagi Datuk Pandelela masih ada ini, saya mahu buat lagi bersamanya," kata Dhabitah sebaik tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), semalam dari Hangzhou.

Sementara itu, Dhabitah berkata, dia juga akan kekal memberi fokus kepada acara 3m papan anjal individu.

"Kalau dua acara masih boleh lagi, cuma di Sukan Asia kali ini disebabkan saya baru pulih daripada kecederaan (pergelangan tangan), tubuh badan saya tidak berapa cergas. Jadi, mental dan fizikal agak penat.

"Saya rasa dua sudah cukup, jika lebih daripada itu saya akan mula tertekan. Namun, macam saya cakap sebelum ini, jika mereka (pasukan) perlukan khidmat saya dalam banyak acara, lebih banyak perbincangan perlu dilakukan mengenai fisioterapi, rehat, urutan dan sokongan khidmat ISN (Institut Sukan Negara)," katanya.

Di Hangzhou, selain 10m platform seirama bersama Pandelela, Dhabitah turut beraksi dalam dua lagi acara lagi iaitu 3m papan anjal seirama bersama Wendy Ng yang menyaksikan mereka meraih pingat perak dan dan tempat keempat untuk acara 1m papan anjal individu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 Oktober 2023 @ 5:44 PM