SHARUL Aimy layak ke final acara melombol.
SHARUL Aimy layak ke final acara melombol.
Aida Adilah Mat


Hangzhou: Atlet gimnastik negara Sharul Aimy Kamaru Hisam tetap optimis untuk menghadiahkan pingat buat negara selepas berjaya mara ke peringkat akhir acara melombol yang akan berlangsung Jumaat ini.

Melombol antara acara kegemarannya, Sharul Aimy diharapkan mampu mengulangi pencapaian bekas gimnas negara Ng Shu Wai yang kini menjadi jurulatih kebangsaan.

Shu Wai sebelum ini menjadi atlet gimnastik tunggal yang pernah menyumbangkan perak di temasya Sukan Asia Doha 2006 dalam acara sama.

"Memang menjadi impian saya untuk membawa pulang pingat. Tapi sekarang saya lebih fikir untuk perbaiki kualiti dan pendaratan.

"Saya tahu kalau saya dapat perbaiki kedua-dua ini saya akan dapat keputusan yang bagus. Saya masih ada masa sebelum acara akhir Jumaat ini, saya teruskan latihan seperti biasa untuk perbaiki apa yang kurang.

"Dalam acara saya, Jepun, Iran dan Hong Kong sangat kuat sebab skil mereka lebih tinggi dari saya dan saya perlu meningkatkan lagi latihan," katanya.

Mengulas mengenai prestasinya ketika sesi kelayakan Ahad lalu, Sharul Aimy berkata, dia berpuas hati dengan prestasinya kerana berjaya melakukan yang terbaik.

Dalam aksi itu Sharul Aimy menamatkan saingan di kedudukan keenam dari 16 peserta yang mengambil bahagian.

Atlet dari Terengganu yang meraih tiga emas ketika temasya Sukan Malaysia yang lalu itu meraih 14.216 mata dalam aksi kelayakan berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 September 2023 @ 2:49 PM