SHARUL menunjukkan pingat pada sesi temu bual khas bersama pemberita, malam tadi. FOTO BERNAMA
SHARUL menunjukkan pingat pada sesi temu bual khas bersama pemberita, malam tadi. FOTO BERNAMA
Najiy Jefri


Kuala Lumpur: Selepas kejayaan meraih pingat gangsa di Sukan Asia Hangzhou, atlet gimnastik negara, Muhammad Sharul Aimy Mohd Kamaru Hisam sedang dalam misi mencari dana RM300,000 untuk menyertai kejohanan Piala Dunia Gimnastik Artistik, tahun depan.

Menurut Sharul, bagi meraih mata kelayakan ke temasya Sukan Olimpik Paris 2024, dia perlu menyertai empat kejohanan itu berturut-turut yang berlangsung di Mesir, Cottbus (Jerman), Doha (Qatar) dan Baku (Azerbaijan) bermula Januari hingga Mac depan.

Katanya, dia juga sanggup mengeluarkan duit poket kerana kejohanan berkenaan memberi peluang cerah untuk dia membuat kemunculan sulung di Sukan Olimpik Paris 2024.

"Saya diberitahu Majlis Sukan Negara (MSN) hanya akan menghantar atlet sertai dua kejohanan Piala Dunia namun saya sanggup keluarkan duit sendiri untuk ke dua kejohanan lain.

"Walaupun duit simpanan belum mencukupi tapi saya percaya kepada rezeki selain berusaha mencari dana dengan beberapa jenama untuk saya berkolaborasi.

"Ini adalah harapan saya untuk ke Sukan Olimpik Paris 2024. Jika saya mampu terbang ke keempat-empat acara itu dan menaiki podium, ia akan memberi 'tiket' mudah untuk saya," katanya.

Menurut Sharul, sebagai persiapan untuk menuju ke acara lebih besar, dia kini sedang giat melakukan latihan intensif bersama jurulatih Ng Shu Liang bagi meningkatkan tahap kesukaran daripada 5.2 kepada 5.6 dalam rutin melombol.

"Saya akui cabaran akan lebih sukar selepas ini kerana perlu bersaing dengan atlet hebat dari negara lain.

"Jadi sebagai persiapan saya perlu berlatih tingkat kesukaran iaitu lakukan double front half iaitu mendarat menghadap belah lain memandangkan saya mengalami kecederaan buku lali kanan ketika sesi latihan ke Sukan Asia Hangzhou 2022.

"Sepatutnya kesukaran (darjah) itu saya telah lakukan di Hangzhou, namun disebabkan kecederaan yang dialami saya tidak dapat teruskannya. Sekarang kecederaan beransur baik namun masih perlu mendapatkan rawatan di Institut Sukan Negara (ISN)," katanya.

Terdahulu Sharul Aimy menamatkan kemarau selama 17 tahun negara tanpa sebarang pingat dalam sukan itu selepas berjaya meraih gangsa dalam acara melombol lelaki di Sukan Asia Hangzhou 2022.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 7 Oktober 2023 @ 4:27 PM