SHAHRUL Aimy sandaran skuad gimnastik lelaki negara. FOTO Agensi
SHAHRUL Aimy sandaran skuad gimnastik lelaki negara. FOTO Agensi
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Dengan strategi yang tepat skuad gimnastik lelaki negara yakin mereka mampu menghadiahkan pingat buat negara pada temasya Sukan Sea Kemboja yang akan bermula 5 Mei ini.

Biarpun tanpa skuad wanita selepas tuan rumah menggugurkan acara itu, jurulatih negara Ng Shu Wai berkata, beliau yakin dengan kemampuan barisan atlet negara biarpun perlu berdepan cabaran juara dunia dari Filipina, Carlos Yulo.

"Saya yakin dan berani janji bahawa mereka akan bawa pulang pingat tapi warna itu masih belum pasti.

"Kita kena ada strategi yang tepat kerana kali ini tuan rumah menetapkan syarat bahawa seorang atlet yang boleh menyertai dua acara justeru jika strategi kita tepat saya yakin tiada masalah untuk bawa pulang pingat," katanya.

Kehadiran Yulo sememangnya memberi impak kepada persaingan kerana bakat luar biasa yang dimiliki oleh atlet berusia 23 tahun yang pernah meraih dua emas di Kejohanan Dunia pada 2019 dalam acara senaman lantai dan 2021 melombol.

Malah Jepun iaitu medan latihan Yulo juga sudah tidak lagi membenarkan atlet itu untuk bersama-sama skuad latihan mereka apabila Yulo sudah berjaya menewaskan barisan atlet dari negara matahari terbit itu.

Kata Shu Wai, harapan pingat diletakkan kepada gimnas nombor satu negara iaitu Shahrul Aimy Kamarul yang berpengalaman beraksi di temasya Sukan Komanwel selain meraih gangsa di Sukan Sea Hanoi dalam acara kekuda bepelana.

"Shahrul sekarang gimnas nombor satu negara jadi memang kita letak harapan kepada dia. Saya harap dia akan tenang dan tidak terlalu tertekan.

"Tapi saya faham, dia atlet utama dan memang ramai nak dia menang. Dia akan rasa tekanan di situ tapi tekanan itu adalah sesuatu yang baik untuk dia," katanya.

Terdahulu pada temasya di Hanoi kontinjen gimnastik negara meraih empat emas, dua perak dan dua gangsa.

Emas dihadiahkan oleh Rachel Yeoh dalam acara wanita manakala dua lagi emas disumbangkan dalam acara gimrama menerusi berpasukan dan individu keseluruhan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 April 2023 @ 3:35 PM