SHAH (dua kiri) ketika bergambar bersama Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh (tengah). FOTO Hannah Yeoh
SHAH (dua kiri) ketika bergambar bersama Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh (tengah). FOTO Hannah Yeoh
Aida Adilah Mat


Hangzhou, China: Gaya penampilan dengan rambut terbaru membuktikan bahawa pelumba negara, Muhammad Shah Firdaus Sahrom sudah bersedia mengalas tugas yang ditinggalkan oleh Datuk Azizulhasni Awang pada temasya Sukan Asia, Hangzhou.

Ini adalah masanya untuk pemenang pingat gangsa di Sukan Komanwel Birmingham 2022 itu keluar dari bayang-bayang Azizul.

Presiden Majlis Olimpik Malaysia, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria berkata, beliau melihat keyakinan yang tinggi dalam diri Shah.

Malah Shah pastinya mendapat tonik tambahan selepas dipilih menjadi wakil atlet sebagai pembawa Jalur Gemilang pada malam pembukaan Temasya Sukan Asia kali ini.

"Saya lihat Shah sudah bersedia untuk keluar dari bayang-bayang Azizul dan mengambil tanggungjawab itu.

"Shah bercakap kepada saya bahawa dia bersedia untuk gantikan Azizul dalam acara keirin dan yakin untuk beri persaingan hebat kepada siapa saja.

"Dia mahu menyinar demi negara, saya suka melihat semangat dia itu dan bagi saya dia kini mempunyai sikap seperti Azizul," katanya.

Norza berkata, beliau yakin barisan pelumba negara kini berada di tahap kesiapsiagaan yang tinggi biarpun tanpa kehadiran Azizul yang menarik diri akibat kecederaan pada kelajuan yang tinggi minggu lalu.

Terdahulu, Azizulhasni yang diberi julukan The Pocket Rocketman, memutuskan untuk menarik diri selepas dia mengalami kecederaan di bahagian kaki dan pinggul kiri susulan kemalangan pada kelajuan tinggi yang dialaminya ketika sesi latihan di Velodrom Nasional Nilai, Jumaat lalu.

Pada Sukan Asia Jakarta-Palembang 2018, Azizulhasni berjaya membawa pulang satu pingat emas menerusi acara pecut selain turut meraih pingat perak (pecut berpasukan) dan gangsa untuk acara keirin.

Sepanjang penampilan di Sukan Asia, pemenang pingat perak Sukan Olimpik Tokyo 2020 itu sudah mengumpul dua pingat emas menerusi kejayaan pada 2010 di Guangzhou dalam acara keirin dan pecut di Jakarta-Palembang 2018.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 September 2023 @ 5:09 PM