FADHIL akan beraksi esok. FOTO BERNAMA
FADHIL akan beraksi esok. FOTO BERNAMA
Aida Adilah Mat


Hangzhou, China: Skuad berbasikal kini bergantung kepada 'orang kuat' sukan itu, Muhammad Fadhil Mohd Zonis untuk mengepalai kuartet pecut negara yang akan turun membuka tirai pertandingan di temasya Sukan Asia, Hangzhou, esok.

Sebagai pelumba senior dalam kuartet itu, Fadhil diharapkan dapat membimbing Muhammad Ridwan Sahrom dan Umar Hasbullah mencipta kejutan di Hangzhou biarpun tanpa kehadiran pelumba nombor satu negara, Datuk Azizulhasni Awang.

Fadhil ketika dihubungi berkata, dia kini sudah bersedia menggempur lawan yang mana Jepun, China dan Korea dilihat akan menjadi seteru utama yang mampu menidakkan peluang negara merangkul pingat.

Namun Fadil yang juga pemenang rekod kebangsaan dalam acara 1 kilometer ujian masa itu berkata, dia optimis gandingan baharu itu mampu menyumbangkan pingat demi melunaskan misi di temasya ini.

"Berdasarkan prestasi di ACC (Kejohanan Berbasikal Asia) di Nilai yang lalu yang mana kami meraih gangsa, saya dapat rasakan kami macam ada peluang.

"Apa saja boleh berlaku biarpun pasukan ini adalah pasukan junior, saya sebagai pelumba senior yang tampil buat kali kedua di Sukan Asia, berharap dapat membuat sesuatu untuk negara," katanya.

Hari ini, pelumba negara buat pertama kali dibenarkan untuk mencuba velodrom baru, Velodrom Chun'an Jieshou, sebuah velodrom pasang siap yang dibuat khas untuk temasya kali ini.

Pada temasya yang lalu di Palembang-Jakarta, pasukan berbasikal negara menyumbangkan satu emas, satu perak dan satu gangsa.

Emas dan gangsa disumbangkan oleh Azizul dalam pecut individu dan keirin manakala perak diraih skuad pecut berpasukan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 September 2023 @ 7:43 PM