PEI Jing (kiri) dan Nasir Anugerah Sukan Pahang 2021/2022. FOTO Bernama
PEI Jing (kiri) dan Nasir Anugerah Sukan Pahang 2021/2022. FOTO Bernama
Asrol Awang


Kuantan: Atlet angkat berat dan badminton kebangsaan, Mohamad Nasir Roslan dan Lai Pei Jing, masing-masing dinobat Olahragawan dan Olahragawati Pahang 2021/2022.

Penerima Anugerah Olahragawan dan Olahragawati masing-masing menerima piala pusingan, piala iringan, sijil dan wang tunai RM5,000.

Anugerah disampaikan Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di sini hari ini.

Hadir sama, Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dan Pengerusi Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Pahang, Fadzli Mohamad Kamal.

Kejayaan Mohamad Nasir berdasarkan pencapaian meraih pingat emas Kejohanan Angkat Berat kelayakan Komanwel dan berada di kedudukan ketujuh Sukan Komanwel 2022.

Pencapaian Pei Jing pula apabila meraih dua pingat, masing-masing satu emas dan gangsa pada Sukan Komanwel Birmingham 2022 dan emas di Kejohanan Terbuka Korea 2022.

Pada majlis itu, Anugerah Olahragawan dan Olahragawati Harapan menjadi milik atlet olahraga, Muhammad Ikbolasen Md Kamal Hussain dan pelayaran, Nur Alia Ameera Mohammad Latif.

Muhammad Ikbolasen dan Nur Alia Ameera, masing-masing menerima piala, sijil dan wang tunai RM3,000.

Anugerah Paralimpik Lelaki diraih atlet tenis, Mohamad Yusshazwan Yusoff dan Paralimpik Wanita milik atlet memanah, Loh Chi Hui, masing-masing menerima piala, sijil dan wang tunai RM2,000.

Anugerah Majlis Sukan Daerah dimenangi oleh Majlis Sukan Daerah Pekan, Persatuan Bola Jaring (Persatuan Sukan Terbaik), Mohd Sufian Mohamad (Jurulatih Terbaik), Datuk Suhaimi Mohd Yunus (Penggerak Sukan), Datuk Md Sohaimi Mohamed Shah (Kepimpinan Sukan).

Anugerah pasukan lelaki diraih pasukan hoki Sukma 2022, pasukan wanita sukma 2022 (pasukan wanita) dan Anugerah Khas Jasamu Dikenang (Datuk Seri Mohd Johari Hussain).

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 September 2023 @ 7:41 PM