Asrol Awang

Kuantan: Pesilat negara, Mohd Taqiyuddin Hamid dan gimnas negara, Koi Sie Yan, masing-masing dinobat Olahragawan dan Olahragawati Pahang 2019/2020.

Penerima Anugerah Olahragawan dan Olahragawati masing-masing menerima piala pusingan, piala iringan, sijil dan wang tunai RM5,000.

Anugerah disampaikan Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di sini hari ini.

Hadir sama, Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dan Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia, Belia, Sukan dan Badan-Badan Bukan Kerajaan Pahang, Datuk Seri Mohd Johari Hussain.

Kejayaan Mohd Taqiyuddin itu hasil pencapaian pingat emas pada Sukan Sea Filipina pada 2019, emas Kejohanan Silat Terbuka Malaysia 2019 dan emas Kejohanan Silat Terbuka Uzbekistan 2020.

TAQIYUDDIN bersama penerima Anugerah Paralimpik Wanita Terbaik, Ruzila (kiri) dan Anugerah Paralimpik Lelaki Terbaik, Mohamad Yusshazwan (kanan) bergambar bersama pada majlis Anugerah Sukan Pahang 2022, di Hotel Grand Darul Makmur. FOTO Farizul Hafiz Awang
TAQIYUDDIN bersama penerima Anugerah Paralimpik Wanita Terbaik, Ruzila (kiri) dan Anugerah Paralimpik Lelaki Terbaik, Mohamad Yusshazwan (kanan) bergambar bersama pada majlis Anugerah Sukan Pahang 2022, di Hotel Grand Darul Makmur. FOTO Farizul Hafiz Awang

Pencapaian Sie Yan pula pada Sukan Sea Filipina 2019 dengan meraih satu pingat emas dan perak serta empat emas dan satu gangsa pada Karnival Majlis Sukan Negara (MSN) pada 2020.

Pada majlis itu, Anugerah Olahragawan dan Olahragawati Harapan menjadi milik atlet hoki, Muhammad Izham Azhar dan Siti Zulaikha Husain, masing-masing menerima piala, sijil dan wang tunai RM3,000.

Anugerah Khas Olimpian pula milik atlet pelayaran, Nur Shazrin Mohd Latif yang membawa pulang piala, sijil dan wang tunai RM5,000.

Anugerah Paralimpik Lelaki diraih atlet tenis kerusi roda, Mohammad Yusshazwan Yusoff dan Paralimpik Wanita milik atlet bowling, Ruzila Mustafa.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 Julai 2022 @ 6:22 PM