Syed Akmal calon Olahragawan UiTM. FOTO File NSTP
Syed Akmal calon Olahragawan UiTM. FOTO File NSTP

ATLET boling padang kebangsaan, Daeng Dhadyry Dahasry akan menerima tentangan sengit dari atlet petanque negara, Syed Akmal Fikri Syed Ali bagi perebutan Anugerah Olahragawan 2019 Universiti Teknologi Mara (UiTM) sempena Majlis Anugerah Sukan UiTM, di Shah Alam esok.

Majlis anjuran Pusat Sukan Bahagian Hal Ehwal Pelajar UiTM turut menyaksikan atlet olahraga, Muhammad Aqil Yasmin, Anwarul Hafiz Ahmad (ragbi), Ahmad Azfaruddin Lukman (kayak), Muhammad Ezuan Nasir Khan (menembak), dan Azam Mohd Shidid (orienteering) turut bersaing bagi pengiktirafan atlet sukan di universiti itu.

Manakala Anugerah Olahragawati membabitkan saingan atlet petanque kebangsaan, Shariah Aqilah Farhana Syed Ali serta Nur Nabila Azman Hisham dari sukan catur.

Turut bersaing Rozliana Mohd Ridwan (ragbi wanita), Nur Ain Nabilah Tarmizi (boling padang), Nurul Farah Alisa Roslan (taekwando), Faradiba Tugiman (pencak silat), dan Aimi Ayuni Azwan (kayak).

Rozliana calon Anugerah Olahragawati 2019.
Rozliana calon Anugerah Olahragawati 2019.

Sebanyak 15 kategori anugerah bakal diberikan kepada atlet dan pegawai yang mempamerkan kecemerlangan dalam bidang sukan masing-masing sepanjang tahun lalu.

Anugerah yang dipertandingkan adalah Anugerah Olahragawan, Olahragawati, Anugerah Hall of Fame, Anugerah Emas Universiti, Anugerah Perak Universiti, Anugerah Gangsa Universiti, Anugerah Khas Universiti, Anugerah Sijil Penghargaan, Pasukan Cemerlang, Pengurus Cemerlang, Jurulatih Cemerlang, Tokoh Sukan UiTM dan Tokoh Sukan Alumni, serta penghargaan khas staf.

Majlis yang diadakan di Canseleri Tuanku Syed Sirajuddin Aras 7, UiTM, buat julung kalinya akan disiarkan secara maya melalui UiTM Channel You Tube.

Anugerah tahunan ini bagi memberi pengiktirafan terhadap sumbangan dan komitmen ditunjukkan atlet dan pegawai yang mengharumkan nama UiTM dalam arena sukan, sama ada di peringkat Universiti, Kebangsaan mahupun Antarabangsa.

Disamping itu ia juga menggalakkan pembabitan aktif pelajar di dalam bidang sukan. Majlis akan disempurnakan oleh Naib Canselor UiTM, Profesor Emeritus Datuk Ir Dr Mohd Azraai Kassim.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 Ogos 2020 @ 8:03 PM