HAIQAL muncul raja pecut Sukan Sea 2019.
HAIQAL muncul raja pecut Sukan Sea 2019.
BERNAMA

Kuala Lumpur: Bekas juara 100 meter (m) lelaki Sukan Sea 2019, Muhammad Haiqal Hanafi, berazam membantu kuartet 4x100m lelaki negara meleburkan rekod kebangsaan, sekiranya beraksi dalam acara itu pada Sukan Asia Hangzhou 2022 di China.

Haiqal berkata dia tekad memberikan larian bertenaga dalam usaha mencatatkan 38 saat (s) sekali gus memperbaharui rekod kebangsaan iaitu 39.09s yang dilakukannya bersama jaguh pecut negara, Muhammad Azeem Fahmi diikuti Muhammad Arsyad Saat dan Muhammad Zulfiqar Ismail pada Sukan Sea 2021 di Hanoi, Vietnam.

"Sekiranya dapat pecah rekod kebangsaan dengan catatan 38s di Hangzhou, insya-Allah medal berpotensi dalam tangan.

"Walau bagaimanapun, jika tidak menang medal, kejayaan memperbaharui rekod kebangsaan merupakan pencapaian membanggakan," katanya.

Minggu lepas, jurulatih pecut negara Mohd Poad Md Kassim berkata buat masa ini juara 100m lelaki Sukan Sea 2017, Khairul Hafiz Jantan dan Muhammad Azeem, masing-masing dijangka diletakkan sebagai pelari pertama dan terakhir dalam acara 4x100m lelaki pada temasya sukan di China itu, dijadual bermula 23 Sept hingga 8 Okt ini.

Mohd Poad berkata beliau akan menjadikan kejohanan Terbuka Jabar di Indonesia bermula 14 hingga 16 Sept ini bagi membuat penilaian terakhir menentukan dua lagi pelari untuk beraksi di Hangzhou, terdiri daripada Muhammad Haiqal, Muhammad Arsyad, Jonathan Nyepa dan Russel Alexander Nasir Taib.

Kali terakhir Malaysia memenangi pingat acara tersebut di Sukan Asia adalah pada edisi 1966 yang menyaksikan legenda olahraga tanah air Tan Sri Dr M Jegathesan bersama Mohd Ariffin Ahmad, G Rajalingam dan T Krishnan mencipta sejarah tersendiri dengan muncul juara di Bangkok.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 September 2023 @ 5:07 PM