AMIRUL (tengah) bersama Aiman dan Zhe Yie di podium malam tadi. -FOTO Facebook Tour Gateh d'Tranung 2022
AMIRUL (tengah) bersama Aiman dan Zhe Yie di podium malam tadi. -FOTO Facebook Tour Gateh d'Tranung 2022
Hamdan Saaid

Kuala Lumpur: Pelumba Terengganu Polygon Cycling Team (TSG) Nur Amirul Fakhrudin Mazuki meraih jersi kuning sekali gus muncul juara keseluruhan Tour Gateh d'Tranung 2022 yang berakhir di Kuala Terengganu lewat malam tadi.

Pelumba berusia 30 tahun itu, yang memenangi peringkat pertama dari Kuala Terengganu ke Jertih Isnin lalu, mengatasi cabaran sengit beberapa pelumba tempatan terutama Muhammad Nur Aiman Rosli dari Team Sapura Cycling (TSC) yang menyapu bersih semua tiga jersi - kuning, merah dan hijau - selepas memenangi peringkat ketiga Rabu lalu.

"Terima kasih kepada semua rakan sepasukan dan semua yang terbabit bekerja keras bagi memastikan jersi kuning milik TSG," kata Amirul, yang pernah muncul juara keseluruhan Tour of Siak 2019, dalam perkongsian di laman Instagram.

Perlumbaan selama lima hari yang sebelum ini lebih dikenali sebagai Jelajah Terengganu berakhir dengan peringkat kelima iaitu perlumbaan kriterium malam di sekitar Jambatan Angkat Terengganu sejauh 45 kilometer malam tadi.

Kriterium 16 pusingan itu dimenangi Muhammad Zawawi Azman dari Armed Forces Cycling Team diikuti dua pelumba TSC, Muhsin Al Redha Misbah dan Akmal Hakim Zakaria manakala kapten TSG, Mohd Harrif Saleh di tangga keempat.

Seperti dijangka Nur Aiman menguasai dua jersi - jersi merah bagi Raja Bukit dan jersi hijau bagi gelaran Raja Pecut manakala pelumba Terengganu Test Team, Kee Zhe Yie muncul juara keseluruhan bagi kategori Bawah 23 Tahun.

Sementara itu, Harrif berkata, perlumbaan di 'Land of Cycling' itu memberi peluang kepadanya untuk bersiap sedia menghadapi Tour of Thailand dari 1 hingga 6 April ini.

"Bukan rezeki kami di halaman sendiri pada perlumbaan kriterium Terengganu Drawbridge semalam. Pada perlumbaan ini pasukan kami menghantar ramai pelumba muda untuk mendapat pendedahan perlumbaan dan disaingi pelumba berpengalaman dari Sapura dan PDRM yang dibarisi semua pelumba Malaysia.

"Memang bagus perlumbaan sebegini selalu dianjurkan dan kita boleh menilai kemampuan pelumba tempatan yang lain serta memberi ruang kepada mereka lagi bersemangat untuk berlatih dan berlumba.

"Bagi saya, perlumbaan ini hanya sebagai latihan untuk perlumbaan berikutnya di Tour of Thailand dan misi saya memburu podium di sana, insya-Allah," tulisnya dalam laman sosial.

Selain Harrif dan Amirul, TSG turut diwakili pelumba import dari Indonesia, Jamal Hibatullah, Wan Abdul Rahman Hamdan serta dua pelumba akademi Zuladri Amin Zulkurnain dan Wan Mohd Hamizan Ifwat Wan Badrulfadli Sham.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 26 Mac 2022 @ 2:24 PM