HAIQAL ketika beraksi di Sukan Sea Kemboja Mei lalu. -FOTO NSTP
HAIQAL ketika beraksi di Sukan Sea Kemboja Mei lalu. -FOTO NSTP
Zulkarnain Azman


Kuala Lumpur: Skuad olahraga negara, menerima tamparan hebat di Kejohanan trek dan padang Asia yang akan berlangsung di Pattaya, Thailand bermula 12 hingga 19 Julai apabila Raja Pecut Asia Tenggara 2019, Muhammad Haiqal Hanafi terpaksa menarik akibat cedera.

Perkembangan tu disahkan oleh jurulatih pecut negara, Muhammad Poad Kassim yang menjelaskan Haiqal mengalami kecederaan buku kali ketika menjalani latihan di kem latihan pusat yang diadakan di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Perak baru-baru ini.

"Ceritanya amat panjang, saya tidak mahu memperbesar-besarkan isu ini, yang boleh saya katakan Haiqal mengalami kecederaan di bahagian buku lali ketika berlatih.

"Bagaimanapun atlet kita masih lagi bersemangat dan berada dalam keadaan yang cukup positif, jadi harapnya kita boleh melakukan yang terbaik nanti," katanya.

Dalam pada itu Poad mengesahkan akan ada perubahan posisi pelari berbanding kuartet 4x100m negara yang memenangi pingat gangsa di Sukan Sea Kemboja Mei lalu.

Katanya, Haiqal yang sebelum ini disenaraikan untuk membentuk kuartet 4x100 meter (m) bersama-sama pelari pecut sensasi, Muhammad Azeem Fahmi, Khairul Hafiz Jantan dan Jonathan Nyepa terpaksa digantikan dengan Mohammad Thaqif Hisham.

"Azeem sudah pasti akan menjadi pelari terakhir, Thaqif pula akan menjadi pelari ketiga, dan Jonathan pula sebagai pelari kedua, sementara Khairul Hafiz akan menjadi pelari pertama.

"Aturan kali ini memang cukup berbeza dengan apa yang kita tampilkan di Sukan Sea dahulu," ujarnya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 7 Julai 2023 @ 4:39 PM