SKUAD takraw negara memberikan saingan sengit kepada musuh tradisi sebelum tewas.
SKUAD takraw negara memberikan saingan sengit kepada musuh tradisi sebelum tewas.
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Skuad sepaktakraw tampaknya masih belum mampu menundukkan keegoan Thailand apabila tewas pada perlawanan akhir Kejohanan Dunia Sepak Takraw Piala Raja Thailand Ke-36, 2023 di Korat, hari ini.

Menurunkan barisan Mohammad Syahir Rosdi (tekong), Khairol Zaman Hamir Akhbar (perejam) dan Amirul Zazwan Amir (pengumpan) skuad bimbingan Ahmad Jais Baharun terpaksa akur tewas kepada skuad Gajah Putih, 20-22, 17-21.

Dalam pertarungan di pusat beli-belah di Korat, Thailand itu skuad negara memberi tentangan sengit sebelum tunduk dalam pertarungan penuh mendebarkan.

Kedua-dua pasukan saling berkejar mata demi mata dengan Thailand cuba menukar strategi dengan menggilirkan kedua-dua tekong kidalnya, Pornthep Tinbangbon dan Siriwat Sakha.

Skuad Jais bagaimanapun masih berpeluang menebus kehampaan menerusi regu berpasukan yang hanya akan bermula Khamis ini dengan Malaysia diundi dalam Kumpulan B bersama naib juara 2022 Korea Selatan, Indonesia dan Vietnam.

Sementara itu, skuad wanita negara mara ke separuh akhir acara berempat (kuadran) Divisyen Satu sebagai juara Kumpulan A selepas menumpaskan India 21-15, 21-6 petang ini.

Skuad kendalian Mohd Rashidi Nordin ini pada sebelah paginya dengan mudah mengalahkan Nepal 21-14, 21-5 dalam perlawanan kedua mereka.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 Julai 2023 @ 9:38 PM