AZIZUL dan Shah Firdaus menggalas misi emas di Paris. FOTO Flash Sukan
AZIZUL dan Shah Firdaus menggalas misi emas di Paris. FOTO Flash Sukan
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Mereka menjadi sandaran membawa semangat rakyat Malaysia untuk meraih pingat emas pertama di temasya Olimpik.

Perkara itu bukan sesuatu yang mudah untuk digapai kerana pelbagai onak dan ranjau perlu ditempuhi sebelum mengecap kejayaan buat negara tercinta.

Datuk Azizulhasni Awang dan rakan seperjuangan Muhammad Shah Firdaus Sahrom, dua nama tidak perlu diperkenalkan dalam sukan berbasikal negara.

Semangat dipamerkan mereka tidak perlu dipertikaikan dan kedua-duanya mempunyai sejarah kemalangan dalam sukan itu yang tidak perlu diceritakan lagi.

Kisah Azizul tertusuk serpihan kayu sepanjang 23 sentimeter ketika beraksi Siri Piala Dunia Klasik di Manchester 2011 pastinya tidak akan dilupakan peminat sukan tanah air.

Doktor yang merawatnya ketika itu berkata dia sangat bertuah kerana serpihan yang tembus di betis tidak mengenai saraf utama ketika dia mengambil semula basikalnya meneruskan perjuangan untuk menamatkan perlumbaan berkenaan.

Begitu juga dengan Shah Firdaus yang dikenali dengan Shah 'The Terminator'. Berkongsi pengalaman di laman sosial pemenang pingat perak Sukan Olimpik Tokyo itu, Azizul berkata, melihat kemalangan Shah ketika pusingan separuh akhir di Kejohanan Berbasikal Asia (ACC) di Nilai baru-baru ini, dia tidak menyangka Shah mampu menghabiskan perlumbaan.

Malah pelumba The Pocketrocket Man itu menyifatkan 'best moment' di ACC adalah berkongsi podium dengan rakan sepasukannya iaitu Shah 'The Terminator.'

Keadaan Shah ketika kemalangan di pusingan separuh akhir itu memang tak boleh dibayangkan bagaimana beliau masih boleh gigih berkayuh dengan basikal yang patah semata-mata ingin menamatkan perlumbaan.

"Bakat, saiz fizikal, disiplin dan sebagainya kita boleh cari. Akan tetapi semangat juang (fighting spirit) yang tinggi adalah sesuatu yang amat jarang untuk ditemui.

"Saya berharap akan lebih banyak lagi moment dan peluang untuk kami berdiri bersama-sama di atas podium, terutamanya di…?"

Pada saingan ACC di Valedrom Nasional, Nilai itu, Azizul memenangi pingat dua pingat emas dalam acara keirin dan pecut manakala Shah Firdaus menang pingat gangsa.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 25 Jun 2023 @ 5:02 PM