SHAH Firdaus cedera selepas tayar basikalnya meletup ketika latihan di Velodrom Nasional, Nilai, Selasa lalu. FOTO ARKIB NSTP
SHAH Firdaus cedera selepas tayar basikalnya meletup ketika latihan di Velodrom Nasional, Nilai, Selasa lalu. FOTO ARKIB NSTP
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Jaguh berbasikal trek negara, Muhammad Shah Firdaus Sahrom tampak cukup bersemangat untuk beraksi di Piala Negara-Negara di Adelaide dari 2 hingga 4 Februari ini, biarpun baru pulih daripada kecederaan.

Jurulatih berbasikal trek negara, Harnizam Basri berkata, Shah Firdaus kini berada di Adelaide dan dia dijangka akan bersama-sama memburu pingat buat negara di kejohanan berkenaan bersama-sama seorang lagi jaguh trek negara, Datuk Azizulhasni Awang.

Mengulas mengenai tahap kecederaan dialami Shah Firdaus itu, Harnizam berkata, pelumba dikenali sebagai The Terminator Shah itu sudah semakin pulih kerana tidak mengalami kecederaan serius.

"Ada tiga hari lagi sebelum saingan bermula, setakat ini dia sangat positif dan kecederaannya semakin baik.

"Insya-Allah dia akan berjuang untuk memburu pingat dan peluang itu sentiasa ada, cuma kita tak tahu persiapan negara untuk musim baru ini," katanya.

Kejohanan Piala Negara-Negara itu adalah kejohanan kompetitif pertama yang menawarkan mata kelayakan ke Sukan Olimpik Paris 2024, tahun ini.

Tempoh kelayakan Paris 2024 bagi sukan berbasikal trek bermula sejak 19 Julai lalu sehingga 14 April ini.

Terdahulu, penyertaan pemenang pingat gangsa dalam acara keirin dan pecut di Sukan Asia Hangzhou itu di Adelaide menimbulkan persoalan akibat kemalangan ketika menjalani latihan di Velodrom Nasional Nilai, Selalu lalu.

Atlet berusia 28 tahun itu terbabit dalam kemalangan berkelajuan tinggi selepas tayar basikal ditunggangnya meletup semasa sedang memecut untuk mengejar motosikal di hadapannya sama seperti yang pernah dialami Azizulhasni sebelum temasya Sukan Asia Hangzhou, tahun lalu.

Selepas kejohanan di Adelaide, Shah Firdaus dijadualkan beraksi di Kejohanan Trek Asia (ACC) di New Delhi dan Piala Negara-Negara di Hong Kong dari 15 hingga 17 Mac nanti sebelum tempoh kelayakan berakhir pada 14 April depan sejurus selepas tamatnya Piala Negara-Negara di Milton, Kanada yang akan bermula dari 12 hingga 14 April.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 January 2024 @ 4:15 PM