PELUMBA muda negara perlu bersaing di peringkat antarabangsa.
PELUMBA muda negara perlu bersaing di peringkat antarabangsa.
Azlan Muhammad Zain


Sepang: Jaguh berbasikal negara Azizulhasni Awang menyarankan pelumba muda negara diberikan pendedahan yang mencukupi bagi menghadapi Sukan SEA 2017.

Jelasnya, ia dilihat langkah yang tepat dalam memastikan pelumba negara meraih pengalaman yang mencukupi.

“Mungkin pelumba muda negara kekurangan perlumbaan terutamanya berlumba di velodrom. Malaysia tidak mempunyai banyak perlumbaan.

“Ia terserlah (kurang pendedahan) apabila melihat corak perlumbaan mereka. Di sana saya membantu apa yang boleh dengan memberikan maklumat,” katanya sejurus tiba KLIA semalam.

Azizul meraih pingat emas tunggal negara pada Kejohanan Berbasikal Asia (ACC) di New Delhi minggu lalu manakala Shah Firdaus Sahrom dan Muhammad Nur Aiman Rosli menambah dua pingat gangsa.

Prestasi itu membimbangkan Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) Datuk Abu Samah Wahab ketika sasaran 13 emas diletakkan kepada sukan itu pada Sukan SEA, Ogos ini.

Jelasnya, beliau tidak bimbang terhadap prestasi pelumba pecut elit negara namun baki pelumba yang lain.

“Bagi pelumba pecut saya rasa tidak mempunyai sebarang masalah untuk menghadapi Sukan SEA namun yang lain saya tidak boleh mengulas lanjut,” katanya.

Bagaimanapun The Rocket Pocketman mengakui kagum dengan segelintir pelumba muda negara yang mempunyai bakat untuk diketengahkan.

“Ada antara mereka mempamerkan prestasi yang baik walaupun hanya melihat tayangan video. Bayangkan jika mereka diberikan pendedahan yang secukupnya,” jelasnya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 Februari 2017 @ 4:01 AM