AZIZULHASNI Awang.
AZIZULHASNI Awang.
Azlan Muhammad Zain

Kuala Lumpur: Jaguh keirin negara Azizulhasni Awang terpaksa akur terlepas aksi final keirin namun Malaysia meraih pingat pertama di Kejohanan Berbasikal Asia (ACC) di India apabila Shah Firdaus Sahrom meraih gangsa acara sama.

Shah Firdaus terpaksa akur dengan pengalaman dua pelumba Jepun Yuta Wakimoto dan Kanazuri Watanabe yang membolot emas dan perak di Velodrom Kompleks Sukan Indira Gandhi.

Ia memberi petanda cerah untuk negara dengan kejayaan pelumba berusia 22 tahun itu menaiki podium pertama di peringkat senior selepas mencuba dalam tiga edisi sebelum ini.

“Kejayaan ini amat menggembirakan saya, kerana ini tahun keempat saya bersaing pada peringkat senior. Ia memenuhi jangkaan saya untuk menaiki podium selepas berusaha dengan gigih ketika latihan.

“Berbaki 50 meter untuk tamat, pelumba Iran menghalang sehinggakan menyebabkan saya tidak boleh keluar untuk memecut. Sebenarnya saya yakin untuk mengatasi Watanabe di garisan penamat,” katanya.

Shah Firdaus terpaksa mengharungi laluan berliku apabila gagal melayakkan diri pada pusingan pertama namun bangkit menerusi pusingan repechage untuk mara ke separuh akhir dan final.

“Bagaimanapun saya menganggap ia permulaan bagi untuk terus mempamerkan peningkatan. Masih banyak yang perlu saya belajar dan meraih pengalaman untuk terus berjaya,” tambahnya.

Hasrat Azizul untuk meraih emas tidak kesampaian apabila tersangkut di separuh akhir.

Kem Malaysia melakukan bantahan susulan insiden Azizul dihimpit pelumba Taiwan namun komisar perlumbaan tetap dengan keputusan pemenang gangsa Olimpik Rio itu berada pada kedudukan keempat separuh akhir sekali gus tidak layak ke final.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 Februari 2017 @ 10:01 AM