Muhammad Shah Firdaus. FOTO FB MUHAMMAD SHAH FIRDAUS
Muhammad Shah Firdaus. FOTO FB MUHAMMAD SHAH FIRDAUS
Rizar Mohd Noor


Johor Bahru: Pelumba berbasikal trek negara, Muhammad Shah Firdaus Sahrom mengesahkan akan beraksi di Piala Negara-Negara Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) 2024 (Nations Cup) di Hong Kong, yang bermula 15 Mac hingga 17 Mac ini.

Shah Firdaus berkata, itu adalah kejohanan terakhir yang akan disertai sebelum berlepas ke Australia bagi mengikuti kem latihan bagi menghadapi Sukan Olimpik Paris 2024.

Pelumba yang mendapat gelaran `The Terminator Shah' itu yang sudah berada di dalam program `Road To Gold' berkata, dia telah berjaya mengesahkan kedudukan untuk ke Sukan Olimpik Paris 2024 selepas meraih pingat gangsa dalam acara pecut lelaki pada Kejohanan Berbasikal Trek Asia (ACC) 2024 di New Delhi, India, Jumaat lalu.

"Selepas ini, saya akan ke Hong Kong bagi menyertai Nation Cup (15 hingga 17 Mac), ini adalah perlumbaan terakhir saya untuk ke Olimpik Paris memandangkan dari segi pungutan mata dan ranking, saya telah mengesahkan kedudukan ke temasya sukan itu.

"Selepas daripada itu, saya akan mengikuti kem latihan di Australia sebagai persiapan ke Olimpik Paris, dan sebulan sebelum temasya sukan itu bermula, saya akan ke Mallorca, Sepanyol untuk kem latihan fasa akhir," katanya.

Dalam pada itu, pemenang pingat gangsa dalam acara keirin dan pecut di Sukan Asia Hangzhou itu berkata, terdapat beberapa perkara yang perlu diperbaiki supaya tidak menjejaskan peluangnya di Sukan Olimpik kelak.

"Saya perlu ambil pengajaran apa yang berlaku pada ACC di India baru-baru ini yang menyebabkan saya tidak layak ke pusingan akhir bagi acara keirin.

"Pada perlumbaan itu, saya tidak sedar pelumba Kazakhstan membenarkan pelumba China menjarakkan diri di depan, saya tidak jangka dia melakukan perkara itu hingga jejas peluang untuk ke pusingan akhir, Saya akui itu kesilapan saya juga dan tidak akan membenarkan ia berlaku di Olimpik Paris nanti," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 Februari 2024 @ 2:16 PM