Pelumba berbasikal trek negara Muhammad Shah Firdaus Sahrom.
Pelumba berbasikal trek negara Muhammad Shah Firdaus Sahrom.
Amirul Fazli Zulkafli


Kuala Lumpur: "Saya terpaksa berhenti seketika apabila tayar basikal meletup ketika cuba mengejar motosikal yang bergerak laju.

Itu yang terjadi kepada pelumba berbasikal trek negara Muhammad Shah Firdaus Sahrom, apabila mengalami kemalangan serius ketika latihan sebelum Kejohanan Berbasikal Trek Asia (ACC) 2024 di New Delhi, India.

Menurut Shah Firdaus, dia masih dalam fasa pemulihan daripada kecederaan yang dialami ketika latihan beberapa minggu lalu tetapi dirinya sangat gembira apabila berjaya menamatkan perlumbaan dengan pingat gangsa dalam acara pecut individu lelaki semalam.

"Saya masih dalam fasa pemulihan daripada kecederaan pada lutut dan bahu saya. Saya berjuang pada ACC di India dengan apa yang tinggal. Alhamdulillah (pingat gangsa acara pecut individu) dan berjaya memperoleh beberapa mata ke Olimpik (Paris 2024) yang berharga.

Hari Ahad akan datang (esok), acara keirin akan bermula. Sekarang mari pergi (mendapatkan kedudukan terbaik)," tulisnya di Facebook.

Untuk rekod, Shah Firdaus antara pelumba harapan negara untuk berlumba di Paris nanti bersama Datuk Azizulhasni Awang bagi memburu pingat untuk negara.

Kejohanan ACC di India kali ini tidak disertai oleh Azizulhasni namun The Pocket Rocketman kemungkinan besar akan membuat kemunculan pada kejohanan Piala Trek Antarabangsa di Hong Kong bulan hadapan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 24 Februari 2024 @ 11:12 PM