PRESIDEN PABM, Datuk Ayub Rahmat,
PRESIDEN PABM, Datuk Ayub Rahmat,
Zulkarnain Azman


Kuala Lumpur: Tiada masalah untuk membabitkan orang politik dalam mentadbir Persatuan Sukan Kebangsaan (NSA) selagi mana individu itu mampu menjalankan tugas dan tanggungjawabnya dengan baik.

Presiden Persatuan Angkat Berat Malaysia (PABM), Datuk Ayub Rahmat, berkata, apa yang paling penting adalah kesungguhan individu itu untuk membawa perubahan dan mencipta kejayaan demi negara.

"Bagaimana seseorang itu mampu memacu persatuan ke arah kestabilan dalam persatuan, mencetuskan kecintaan terhadap sukan yang mereka terbabit dan bagaimana memotivasikan atlet untuk mencipta kejayaan itu adalah paling utama.

"Faktor kewangan juga penting namun kesanggupan dan keikhlasan dengan kecintaan terhadap sesuatu sukan itu lebih penting," katanya.

Terdahulu, Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berpendapat pembabitan orang politik bersama persatuan sukan kebangsaan perlu sebaik-baiknya dielakkan bagi memastikan 'reset' sukan negara dapat memberikan impak seperti mana yang diharapkan.

Bagaimanapun Hannah berpandangan, beliau sedar dengan kekangan kewangan dialami persatuan sukan sekali gus menyaksikan mereka terpaksa bergantung harap kepada individu berpengaruh bagi membantu mendapatkan dana buat badan induk masing-masing.

"Saya melihat bahawa kenyataan menteri itu ada maksud tersirat, sejak lama sukan-sukan ini digerakkan oleh orang-orang politik atau orang yang dekat dengan politik.

"Saya yakin semua penggerak sukan secara sedar atau tidak, langsung atau tidak, ia terkait dengan politik jawatan menteri dan timbalan apatah lagi. Malah, dalam persatuan sukan itu sendiri ada politiknya," tambah Ayub.

Dalam pada itu, Presiden Persatuan Tinju Malaysia (PTM), Datuk Mohamad Iruan Zulkefli berkongsi pandangan yang sama berkaitan pembabitan orang politik dalam NSA.

Menurutnya, selagi individu yang memegang jawatan itu tidak mempunyai agenda peribadi beliau berpandangan ia tidak menjadi satu masalah.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 Mei 2023 @ 2:58 PM