Phnom Penh: Tekanan dan jangkaan tinggi diletakkan jelas memberi kesan kepada skuad pingpong wanita negara selepas mereka tumbang 0-3 di tangan Thailand pada aksi final di Dewan Pingpong Stadium Nasional Morodok Techo, sebentar tadi.

Skuad pingpong wanita negara mencipta sejarah apabila mara ke final Sukan Sea buat kali pertama dalam tempoh 30 tahun namun jurang besar dapat disaksikan menerusi persembahan pemain negara.

Karen Lyne tewas 0-3 (11-5, 11-9, 11-9) di tangan Suthasini Sawettabut pada perlawanan pertama sebelum Alice Chang hampir mencipta kejutan menewaskan Orawan Paranang sebelum tumbang 2-3 (11-5, 6-11, 6-11, 11-8, 9-11).

Tee Ai Xin cuba mencetus kebangkitan namun ditundukkan Jinnipa Sawettabut 0-3 (2-11, 8-11, 7-11) sekali gus terpaksa berpuas hati dengan pingat perak namun memperbaiki pencapaian pingat gangsa pada edisi di Hanoi.

Ai Xin dan Alice menangis susulan terlepas pingat emas namun bertekad untuk memenangi emas pada temasya seterusnya.

AKSI Alice Chang ketika menentang pemain Thailand.
AKSI Alice Chang ketika menentang pemain Thailand.

"Saya tahu mata sudah begitu dekat tetapi saya meletakkan tekanan yang tinggi pada diri sendiri. Saya mohon maaf pada rakan sepasukan," kata Ai Xin.

"Mara ke final sudah cukup sebagai satu kejutan kerana kami menewaskan Singapura buat kali pertama (di peringkat kumpulan) dan mara ke final Sukan Sea buat kali pertama.

" Sementara itu, Alice yang muncul sebagai pemain terbaik negara di final mengakui betapa mereka begitu hampir untuk mencipta kebangkitan. Ia satu perlawanan yang sengit.

"Lawan saya itu adalah juara perseorangan wanita pada temasya Sukan Sea yang lalu. Kita tidak begitu jauh dengan mereka jadi saya rasa kesal kerana tidak dapat memenangi perlawanan itu."

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 Mei 2023 @ 3:48 PM