ASHRAF HAIQAL RIZAL
ASHRAF HAIQAL RIZAL
Ferzalfie Fauzi


PASUKAN lelaki harus menjadi pertaruhan terbaik skuad pingpong negara pada Sukan Komanwel di Gold Coast, bulan depan.

Selepas gagal menyumbang pingat dalam empat temasya sejak sukan itu dipertandingkan di Manchester 2002, Gold Coast diharap mampu menghadirkan tuah kepada Ashraf Haiqal Rizal, Leong Chee Feng dan Choong Javen mengakhiri kemarau tanpa pingat pada temasya kedua terbesar dunia itu.

Malah, harapan tinggi diletakkan kepada pasukan lelaki selepas skuad wanita yang sudah dua kali membawa pulang pingat iaitu gangsa di New Delhi 2010 dan perak (Glasgow 2014) dalam acara berpasukan dijangka berdepan sukar mengulangi pencapaian itu.

Ini selepas skuad yang meraih perak empat tahun lalu selepas tewas kepada Singapura 0-3 pada final tanpa khidmat, Beh Lee Wei dan Ng Sock Khim yang bersara selepas Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017), Ogos lalu.

Ketiadaan mereka menyaksikan cabaran negara hanya digalas Ho Ying dan dia akan bergandingan dengan Alice Chang, Karen Lyne dan Tee Ai Xin .

Justeru, tidak hairan Persatuan Pingpong Malaysia (TTAM) tidak meletakkan harapan tinggi kali ini, sebaliknya hanya menyasarkan skuad lelaki dan wanita sekurang-kurangnya mara ke suku akhir.

Walaupun tidak diletakkan harapan tinggi, Ashraf yang juga pemain ranking pertama negara menegaskan dia dan rakan sepasukan akan melakukan yang terbaik di Gold Coast.

“Ya, berdasarkan rekod skuad lelaki masih belum menyumbang pingat dan sudah tentu kami harap mampu melakukannya kali ini,” katanya yang berharap latihan sebulan lebih di China akan membantu mereka melakukan kejutan.

INFO:

Sukan: Pingpong

Tarikh: 5 hingga 15 April

Gelanggang: Studio Oxenford

Sasaran: Suku Akhir

Pencapaian 2014: 1 perak

Senarai pemain:

Lelaki

1.Ashraf Haiqal Rizal

2.Leong Chee Feng

3.Choong Javen

Wanita

1.Alice Chang

2.Karen Lyne

3.Tee Ai Xin

4.Ho Ying

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 Mac 2018 @ 6:14 PM