LEE Wei berkata, sebagai persiapan menghadapi Sukan Sea Kemboja pasukannya akan menerima kunjungan sebuah pasukan universiti dari Jepun. FOTO Bernama
LEE Wei berkata, sebagai persiapan menghadapi Sukan Sea Kemboja pasukannya akan menerima kunjungan sebuah pasukan universiti dari Jepun. FOTO Bernama
Zulkarnain Azman


Kuala Lumpur: Skuad Pingpong negara tekad mahu meneruskan momentum cemerlang yang diraih di Kejohanan Pingpong Dunia (WTT) di Antalya, Turki apabila beraksi di Sukan Sea Kemboja Mei ini.

Ketua jurulatih pasukan pingpong negara, Beh Lee Wei berkata, dia mengakui terkejut dengan prestasi yang ditampilkan anak buahnya memandangkan sebelum ini barisan pemain negara hanyalah sekadar melengkapkan jadual permainan selain tersingkir awal.

"Memang saya terkejut, sebab sebelum ini kita tidak pernah masuk separuh akhir, dan ramai pemain yang berada di ranking dunia terbaik yang perlu kita lawan dalam kejohanan ini sebelum ini.

"Apatah lagi kami hanya beraksi sebanyak tiga kali sahaja di WTT, paling jauh pernah dicapai oleh Alice yang mara sehingga pusingan kedua.

"Memang ini adalah sebahagian daripada persiapan Sukan Sea, kalau boleh kami mahu capai keputusan yang tinggi, namun kami kena lihat prestasi pemain dalam kejohanan akan datang," katanya.

Pada kejohanan WTT itu, pemain perseorangan wanita, Alice Chang Li Sian yang kini berada di ranking 389 dunia berjaya mencipta kejutan mara ke separuh akhir dengan menewaskan pemain di ranking 90 dunia, Li Yu Jhun dari Taiwan sebelum akur di tangan pemain Jepun, Mia Harimoto.

Prestasi sama turut dipamerkan beregu lelaki, Choong Javen-Wong Qi Shen yang berjaya mara ke separuh akhir sebelum perjalanan mereka disekat beregu Singapura, Pang Yew En Koen-Izaac Quek.

Dalam pada itu, Lee Wei berkata, sebagai persiapan ,menghadapi Sukan Sea Kemboja pasukannya akan menerima kunjungan sebuah pasukan universiti dari Jepun pada 10 hingga 24 April ini untuk beradu kekuatan.

Untuk rekod, pada Sukan Sea Vietnam tahun lalu menyaksikan skuad negara membawa pulang satu pingat perak dan 4 pingat gangsa

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 2 April 2023 @ 6:05 PM