JUWAIDI bakal terus beraksi di Shanghai dan Singapura. FOTO Ihsan World Achery
JUWAIDI bakal terus beraksi di Shanghai dan Singapura. FOTO Ihsan World Achery
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Pemanah negara Mohd Juwaidi Mazuki tidak sabar untuk menyertai kejohanan seterusnya selepas berjaya menghadiahkan dua pingat gangsa di Piala Dunia Peringkat 1 di Antalya, Turkiye baru-baru ini.

Bertemu dan menentang mereka bertaraf dunia seperti mengecewakan pemanah nombor satu dunia dari Belanda, Mike Schloesser 148-146 dalam aksi penentuan pingat gangsa di Turkiye, membuatkan pemanah berusia 32 tahun itu tidak sabar untuk melihat apa yang berlaku seterusnya selepas ini.

Misi pemanah compound negara itu akan diteruskan di saingan Piala Dunia Peringkat Kedua di Shanghai China dari 16 hingga 21 Mei ini dan kemudiannya akan menyertai Piala Asia di Singapura (5-10 Jun) sebelum kemuncak pertandingan iaitu Sukan Asia di Hangzhou September ini.

Sememangnya dua gangsa yang diperoleh itu menjadi tonik terbaik buat Juwaidi yang menduduki ranking ke-161 dunia untuk memburu bidikan sempurna seterusnya emas di Sukan Asia nanti.

"Tiada apa yang dapat menggambarkan kegembiraan dan menggambarkan betapa gembira dan bersyukurnya saya.

"Bidikan 714 pada pusingan kelayakan untuk menduduki tempat kelapan dan 150 mata pada pusingan penyingkiran dan kemudiannya memecahkan rekod kebangsaan beberapa kali saya membuatkan saya begitu bersyukur.

"Pingat ini seperti impian menjadi nyata apabila dapat bersaing dengan pemanah terbaik dunia. Apa yang terbaik adalah dapat berkawan dengan mereka semua.

"Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua orang yang membantu saya dan pasukan untuk menjayakan perkara ini," katanya.

Dalam aksi di Turkiye Juwaidi menamatkan masing-masing acara individu lelaki dan pasukan campuran bersama Fatin Nurfatehah Mat Salleh di tempat ketiga.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 26 April 2023 @ 7:28 PM