AHLI majlis BAM, bersetuju mencadangkan Tengku Zafrul sebagai presiden BAM yang baharu. -FOTO NSTP
AHLI majlis BAM, bersetuju mencadangkan Tengku Zafrul sebagai presiden BAM yang baharu. -FOTO NSTP
Amirul Fazli Zulkafli


Putrajaya: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) berharap kepimpinan baharu Persatuan Badminton Malaysia (BAM) yang dilantik nanti akan meneruskan bekerjasama dalam program Road To Gold (RTG).

Menterinya, Hannah Yeoh berkata, dirinya percaya siapa sahaja yang memegang kerusi nombor satu BAM itu akan memastikan kerjasama yang sudah terjalin diteruskan terutama dalam program RTG.

Beliau yang ditemui selepas Majlis Penyerahan Hadiah Kemenangan Huawei kepada 36 Pemenang Pingat Sukan Asia Hangzhou 2022 di IOI City Mall, Putrajaya hari ini berkata, KBS tidak akan campur tangan dalam mana-mana keputusan jawatankuasa induk persekutuan untuk memilih kepimpinan mereka.

"KBS tiada masalah untuk bekerjasama dengan siapa sahaja dan sekiranya Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti), Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dipilih sebagai Presiden BAM, saya pasti mereka mempunyai perancangan terbaik untuk memastikan sukan badminton berjaya," katanya.

KBS dan BAM akan melihat bagaimana prestasi pemain badminton yang boleh di tambah baik sebelum menghadapi Sukan Olimpik Paris 2024 nanti.

Terdahulu, dalam satu mesyuarat ahli majlis BAM, mereka kesemua bersetuju mencadangkan Tengku Zafrul sebagai presiden BAM yang baharu bagi menggantikan Tan Sri Mohamad Norza Zakaria yang akan tamat tempoh kepimpinannya Disember ini.

Untuk program RTG, sebilangan besar atlet badminton berada di dalam senarai dan disandarkan harapan mendapatkan emas pertama buat Malaysia di Sukan Olimpik Paris 2024.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 14 Oktober 2023 @ 4:05 PM