LEE WEI berazam mahu memastikan wakil negara di temasya Olimpik Paris. -FOTO Bernama
LEE WEI berazam mahu memastikan wakil negara di temasya Olimpik Paris. -FOTO Bernama
Zulkarnain Azman


Kuala Lumpur: Jurulatih pasukan ping pong negara, Beh Lee Wei berazam untuk memastikan ada wakil negara beraksi dalam sukan itu di Sukan Olimpik Paris 2024.

Menurut Lee Wei, beliau amat mengharapkan agar Persatuan Ping Pong Malaysia (TTAM) menghantar pemain ke luar negara, menyertai banyak pertandingan kerana ranking pemain terlalu rendah.

"TTAM nak hantar pemain bertanding ke luar negara, tetapi syarat daripada Persatuan Ping Pong Dunia (WTT) berbeza, ada kejohanan atlet kita tak boleh sertai," katanya.

Untuk rekod, tempoh memburu mata kelayakan ke Olimpik Paris 2024 bagi sukan ping pong akan bermula September ini.

Kejohanan pertama untuk kelayakan Olimpik adalah kejohanan peringkat benua, iaitu Kejohanan Asia di Pyeongchang, Korea Selatan pada 3 hingga 10 September.

Diikuti Kejohanan Dunia Berpasukan ITTF di Busan, Korea Selatan, pada 16-25 Februari tahun depan.

"Pemain kita ada standard yang tinggi dan jika kita mampu, saya yakin boleh mendapatkan slot bagi acara beregu campuran namun laluannya agak sukar," tambahnya lagi, sambil mengesahkan kejohanan terdekat yang bakal disertai pemainnya, pada Kejohanan WTT Feeder Bangkok,4 hingga 9 September depan.

Ketika ini skuad negara, dibarisi pemain berkualiti seperti Alice Chang Li Sian, Ho Ying dan Karen Lyne Dick.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 Julai 2023 @ 2:45 PM