ANIQ Kasdan (kiri) bersama penerima Nur Ain (kanan) diumum sebagai Olahragawan, Olahragawati Anugerah Sukan UiTM 2022. FOTO Bernama
ANIQ Kasdan (kiri) bersama penerima Nur Ain (kanan) diumum sebagai Olahragawan, Olahragawati Anugerah Sukan UiTM 2022. FOTO Bernama
Zulkarnain Azman


Kuala Lumpur: Atlet angkat berat, Mohamad Aniq Kasdan dan atlet boling padang, Nur Ain Nabilah Tarmizi masing-masing dinobatkan sebagai Olahragawan dan Olahragawati Universiti Teknologi Mara (UiTM) 2022.

Pada Majlis Anugerah Sukan (MAS) UiTM yang berlansung di Dewan Agung Tuanku Canselor UiTM Shah Alam harini,kedua-dua pemenang membawa pulang sijil, trofi, piala pusingan, piala iringan serta hadiah wang tunai RM1,000 yang disampaikan Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Tinggi Datuk Seri Abdul Razak Jaafar dan Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar UiTM Profesor Dr Mohd Sazili Shahibi.

Aniq, 21 yang merupakan pelajar tahun pertama Ijazah Sarjana Muda pengurusan memberitahu dia tidak sangka berjaya meraih anugerah yang disifatkannya sebagai antara kejayaan yang manis dalam kariernya sebagai atlet.

Menurutnya, dia berharap anugerah itu mampu untuk menyuntik semangatnya meraih lebih banyak gelaran selepas ini.

"Saya tidak sangka dapat anugerah ini. Sebab anugerah sebegini sebenarnya yang pertama buat saya sepanjang bergelar atlet.

"Dengan anugerah olahragawan UiTM ini saya harap membantu prestasi saya selepas ini dalam misi layak ke Olimpik Paris tahun hadapan,"katanya.

Sementara itu, Nur Ain Nabilah 25 berkata, dia nyata gembira apabila berjaya meraih anugerah olahragawati UiTM buat kali kedua selepas memenanginya pada tahun 2019.

Menurutnya, untuk tahun ini dia menyasarkan untuk melayakkan diri ke kejohanan dunia Boling padang bulan Ogos ini sambil berharap jika dirinya terpilih akan cuba sedaya upaya untuk membantu Malaysia meraih emas di kejohanan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 Mac 2023 @ 1:30 PM