ABANG Azizul, Aswarudin Awang memperaga trofi Olahragawan Kebangsaan 2019/2020 malam tadi. FOTO Instagram azizulhasniawang
ABANG Azizul, Aswarudin Awang memperaga trofi Olahragawan Kebangsaan 2019/2020 malam tadi. FOTO Instagram azizulhasniawang
Hamdan Saaid


Kuala Lumpur: Datuk Azizulhasni Awang memohon maaf kerana tidak dapat hadir untuk menerima trofi dan hadiah pada majlis Anugerah Sukan Negara (ASN) 2019/2020 di ibu negara semalam.

Sebaliknya, pelumba berbasikal trek disegani yang dipilih sebagai Olahragawan Negara itu diwakili abangnya Aswarudin Awang pada majlis yang disempurnakan oleh Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di sebuah hotel terkemuka malam tadi.

"Saya dinobatkan sebagai Olahragawan Negara 2019/2020 pada majlis Anugerah Sukan Negara semalam.

"Menjunjung kasih ke bawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong di atas penganugerahan yang diberikan dan ia akan patik jadikan sebagai sumber motivasi buat diri patik untuk terus menggapai kejayaan di masa hadapan.

"Saya memohon kemaafan kerana atas beberapa faktor saya tidak dapat terbang pulang untuk menerima anugerah itu dengan kedua belah tangan saya sendiri akan tetapi terima kasih tidak terhingga kepada abang saya, Aswarudin Awang yang menjadi wakil saya," tulisnya dalam perkongsian terbaharu di laman Instagram.

"Ucapan tahniah juga buat Tan Cheong Min dan Suresh Selvatamby di atas penganugerahan Olahragawati dan Olahragawan Paralimpik Kebangsaan. Tahniah juga kepada semua rakan atlet yang tercalon dan saya berharap anda semua terus gigih berusaha untuk mengharumkan nama Malaysia."

Azizul sebelum ini dipilih sebagai Olahragawan Kebangsaan pada 2009, 2010 dan 2017 dan gelaran keempat itu membolehkannya menyamai rekod dua legenda badminton Datuk Rashid Sidek dan Datuk Lee Chong Wei yang turut memenanginya sebanyak empat kali.

Pelumba berusia 34 tahun berasal dari Dungun, Terengganu itu meraih pingat perak acara keirin pada temasya Sukan Olimpik Tokyo 2020 Ogos lalu dan pulang ke Melbourne, Australia untuk meneruskan latihan di bawah jurulatih John Beasley bagi mempersiapkan diri menghadapi temasya Paris 2024, perlumbaan terakhirnya sebagai atlet.

Azizul turut meraih pingat emas keirin pada Kejohanan Dunia 2017 di Hong Kong dan pingat gangsa pada temasya Olimpik Rio 2016.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 Mac 2022 @ 8:39 PM