Atlet boling padang wanita negara, Nur Ain Nabilah Tarmizi (kiri) dan Aleena Nawawi bertekad berikan aksi terbaik di Kejohanan Boling padang Asia ke-15 di Pattaya, Thailand dan mempertahankan kejuaraan yang dimenangi pada tahun lalu. - Foto Amirul Fazli Zulkafli
Atlet boling padang wanita negara, Nur Ain Nabilah Tarmizi (kiri) dan Aleena Nawawi bertekad berikan aksi terbaik di Kejohanan Boling padang Asia ke-15 di Pattaya, Thailand dan mempertahankan kejuaraan yang dimenangi pada tahun lalu. - Foto Amirul Fazli Zulkafli
Amirul Fazli Zulkafli


Kuala Lumpur: Atlet boling padang wanita negara, Nur Ain Nabilah Tarmizi dan Aleena Nawawi semakin bersemangat untuk mempertahankan kejuaraan Boling Padang Asia yang dimenangi pada tahun lalu.

Bagi Ain Nabilah, kejayaan meraih Olahragawati Universiti Teknologi Mara (UiTM) secara hatrik memberi semangat tambahan buat dirinya untuk menghadapi kejohanan akan datang dan akan terus berusaha mencipta lebih banyak kejayaan lagi.

Selain itu, dirinya turut mengulas antara faktor kejayaan kerana sering mengadakan latihan dan selalu mengikuti kejohanan terbuka yang diadakan Persatuan Boling Padang Kuala Lumpur.

Perkara itu berjaya mempertingkatkan corak permainan sekali gus membantu mereka adaptasi lebih baik ketika situasi dalam perlawanan sebenar.

"Ini kali ketiga berturut-turut selepas memenangi (Olahragawati) pada 2019,2022 dan 2023. Terima kasih kepada UiTM untuk penganugerahan ini, saya sangat lega dan cukup manis (kemenangan) sebab pertama kali anugerah olahragawati untuk dua orang sekali, lagi-lagi dengan pasangan (boling padang) saya.

"Selain itu, berlatih bersama pasukan lelaki selain menyertai beberapa kejohanan sedikit sebanyak membantu meningkatkan prestasi kami untuk berhadapan dengan lawan," katanya.

Sementara itu, bagi Aleena yang pertama kali menerima Olahragawati Universiti Teknologi Mara (UiTM) 2023, dirinya amat terharu dan itu kemenangan yang amat bermakna pada dirinya.

Malah dia dan pasangannya akan cuba berusaha lebih gigih dan terus mempertingkatkan prestasi untuk kejohanan yang akan datang.

Tambahnya lagi, di peringkat Asia, negara India dan Filipina antara lawan yang sukar kepada mereka.

"Saya ucap terima kasih kepada pihak UiTM atas penganugerahan ini dan apa yang jadi lebih manis anugerah ini saya dapat bersama idola (Ain Nabilah) untuk anugerah Olahragawati, itu paling manis.

"Kami akan fokus kepada Kejohanan Boling padang Asia ke-15 di Pattaya, Thailand bulan hadapan dan akan cuba mempertahankan kejuaraan keseluruhan. Kami juga akan lakukan yang terbaik di Terbuka Australia sekiranya kami terpilih ke kejohanan itu," katanya.

Terdahulu Arena Metro melaporkan buat pertama kali dalam sejarah penganjuran Majlis Anugerah Sukan UiTM menobatkan dua anugerah Olahragawati UiTM 2023 selepas atlet boling negara, Nur Ain Nabilah Tarmizi dan Aleena Ahmad Nawawi muncul juara di Kejohanan Boling Padang Dunia menerusi kategori beregu wanita di Gold Coast, Australia pada tahun 2023.

Kejayaan menamatkan kemarau 15 tahun Malaysia dalam acara itu membolehkan mereka diangkat selaku pemenang untuk anugerah terbabit.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 Februari 2024 @ 1:12 PM