MAJLIS Perasmian KARiSTA di UiTM Terengganu, Kampus Dungun, malam tadi.
MAJLIS Perasmian KARiSTA di UiTM Terengganu, Kampus Dungun, malam tadi.
Affan Rostam


Kuala Lumpur: Seramai 1,200 atlet dan pegawai dari 14 kampus Universiti Teknologi Mara (UiTM) seluruh negara menyertai Karnival Sukan Staf (KARiSTA) di UiTM Terengganu Kampus Dungun, bermula 24 hingga 30 Ogos.

Program sukan staf UiTM yang memasuki edisi ketujuh itu kembali diadakan selepas kali terakhir di UiTM Sarawak pada Februari tahun lalu.

Sebanyak 13 acara dipertandingkan pada karnival kali ini termasuk bola sepak, bola sepak veteran, bola jaring, ping pong, tenpin boling, bola tampar, catur, badminton, golf, sepak takraw dan petanque.

"Kejohanan dianjurkan Persatuan Sukan dan Kebajikan Kakitangan UiTM dengan kerjasama UiTM Terengganu itu bertujuan bagi meningkatkan hubungan ukhwah dalam kalangan staf seluruh UiTM.

"Selain itu, ia sebagai salah satu program universiti dalam menyokong Sustainable Development Goal 3, iaitu 'Good Health and Well-being'.

"Penganjuran karnival sukan pada kali ini akan menjadi medan pemilihan kontinjen UiTM ke Karnival Sukan Staf Universiti Awam Malaysia (SUKUM) yang akan berlangsung pada 14 hingga 23 September depan," jelas UiTM dalam satu kenyataan.

Majlis perasmian KARiSTA berlangsung di Dewan Aspirasi UiTM Terengganu, malam tadi dan disempurnakan Timbalan Naib Canselor (HEP) UiTM, Prof Dr Mohd Sazili Shahibi.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 Ogos 2022 @ 6:44 PM