Shanti (kanan) gembira rekodnya dipadamkan. FOTO HM/AGENSI
Shanti (kanan) gembira rekodnya dipadamkan. FOTO HM/AGENSI
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Bekas pelari pecut negara G Shanti cukup gembira mengetahui rekod miliknya dalam acara 100m miliknya akhirnya lebur di tangan Zaidatul Husniah Zulkifli.

Dia yang kini bekerja di institusi kewangan Maybank kini boleh menarik nafas lega apabila negara kini sudah mempunyai pengganti dalam acara pecut itu.

Kejayaan Zaidatul itu memberi harapan cerah buat kem negara menjelang temasya Sukan SEA Kuala Lumpur Ogos ini.

Mengetahui perkhabaran itu daripada rakan yang memaklumkan kejayaan Zaidatul di Afrika Selatan, Shanti berkata, dia mengharapkan Zaidatul terus konsisten mencatatkan masa sekitar 11.40 ke 11.50s untuk mencerahkan peluang emas di Sukan SEA.

"Saya gembira rekod saya akhirnya berjaya dipadamkan. Kita mempunyai peluang untuk emas jika dia berjaya mencatatkan masa yang konsisten.

"Tapi kita tidak tahu bagaimana persediaan atlet dari negara lain. Jadi dia perlu sentiasa bersedia," katanya.

Sebagai seorang yang berpengalaman dalam acara pecut, Shanti menasihatkan agar atlet negara itu tidak gementar apabila turun beraksi di Sukan SEA nanti.

Zaidatul, 24, memecahkan rekod Shanti berusia 24 di Kejohanan Olahraga Afrika Selatan Siri 2 di Stadium Mangaung Athletics Bloemfontein Afrika Selatan awal pagi tadi.

Dia merekodkan 11.45s dengan tiupan angin 0.4 km/j untuk memadamkan rekod Shanti 11.50s yang dilakukan pelari itu pada 7 Mei di Kejohanan Pra Sukan SEA Kuala Lumpur.

Minggu lalu Zaidatul hampir mencipta rekod 100m wanita negara namun tidak diiktiraf sebagai rekod berikutan tiupan angin mencecah 2.5 km/j.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 Mac 2017 @ 6:28 PM